Sejak kecil beri yang terbaik, Aaliyah Yoong bersyukur usaha keras perkenal sukan luncur air berjaya
Atlet sukan luncur air Malaysia, Aaliyah Yoong akui tanpa berkat usaha gigih ibu bapanya serta dirinya sejak berusia lima tahun sudah pasti sukan ini tidak akan dikenali ramai disebabkan tiada penaja atau tumpuan diberikan dari pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Aaliyah yang kini baru sahaja berumur 20 tahun telah berjaya meraih pelbagai kejuaraan samada peringkat Asia Tenggara, Benua Asia dan juga Kejohanan Dunia sekaligus menjadikan beliau salah seorang atlet wanita yang berjaya di Malaysia.
Namun kejayaan yang diraih sehingga hari ini bukan sesuatu yang mudah seperti yang dapat dilihat dalam media massa ataupun di kaca televisyen disebabkan sebelum ini beliau sendiri akui perlu berusaha keras untuk mempopularkan sukan ini sekaligus menarik lebih ramai peminat sukan memberi tumpuan kepada sukan luncur air ini.
“Jika sebelum ini tiada siapa yang tahu tentang sukan ini dan saya perlu bekerja keras untuk sampai ke tahap ini dan beraksi cemerlang dalam pertandingan antarabangsa bagi menunjukkan saya bernilai,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Aaliyah turut memberitahu bahawa setiap apa yang dilakukan dari dulu adalah dorongan daripada kedua ibu-bapanya dan dalam usaha untuk menarik minat pihak kerajaan bagi menajanya ataupun sukan yang dimainkan, ibu bapanya juga yang mengasuhnya untuk menjadi seorang peluncur air hebat seperti kini.
“Jauh sebelum dikenali dan ada penaja yang memberi sokongan mereka, ibu bapa saya sendiri telah menghantar saya menyertai kejohanan-kejohanan antarabangsa disebabkan seperti yang kalian tahu untuk mendapat sokongan daripada kerajaan ataupun penaja, anda perlu memberikan sesuatu yang boleh menyakinkan mereka untuk menyokong kita selain menyokong sukan ini juga.”
Sebelum ini, Aaliyah mula menjadi bahan bualan peminat sukan tanah air apabila kanak-kanak berusia lapan tahun itu berjaya meraih pingat emas sulungnya di kejohanan sukan Asia Tenggara, Sukan SEA pada tahun 2011 dan ia telah menjadi titik permulaan buat Aaliyah dalam membawa sukan luncur air ini lebih dekat dengan rakyat Malaysia.
“Dahulu ketika saya masih lagi belum bermain Sukan SEA pertama saya, saya dah memenangi kejohanan B-17 Asia, tempat ketiga kejohanan terbuka Asia kemudian saya rasa bila saya memenangi Sukan SEA pada tahun 2011 iaitu pada umur 8 tahun, baru kerajaan bagi perhatian kepada saya dan sukan ini.”
Sehingga kini MSN dan KBS sangat menyokong sukan luncur air kerana hasil yang ditonjolkan oleh atlet muda negara ini telah buktikan kepada semua bahawa atlet negara kita mempunyai kualiti yang tersendiri sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Aaliyah sendiri akui sehingga kini dia masih lagi mencari mereka yang berminat untuk menyertainya dalam perjalanan membawa sukan luncur air ini lebih dekat dengan mata peminat sukan tanah air kerana sekarang hanya beliau dan adiknya iaitu, Adam Yoong Hanifah merupakan atlet profesional yang mewakili Malaysia.
“Saya rasa sukan ini perjalanannya masih jauh terutama dari segi populariti dan pandangan peminat selain, peluncur air profesional sekarang di Malaysia hanya saya dan adik saya, dan tidak lama lagi kita ada pembangunan akar umbi untuk sukan luncur air ini di harap akan lebih ramai sertai dan kita boleh ambil contoh seperti di Eropah yang mana mereka mula ajar anak-anak untuk meluncur di awal umur dua tahun dan turut dilatih untuk menjadi juara dunia seperti juara-juara dunia yang saya kenali.”
Aaliyah kini sedang menyambung pelajarannya dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Florida Southern College yang merupakan hasil tajaan daripada Yayasan Sime Darby (YSD) ingin memastikan prestasi akademik dan aktiviti sukan bagi setiap atlet yang dipilih adalah sejajar.
Beliau turut akui bahawa agak sukar untuk mengimbangi masa untuk belajar dan melakukan latihan disebabkan beberapa faktor antaranya sebelum ini beliau agak lama meninggalkan dunia akademik dan perlu lebih fokus semula.
“Saya baru sahaja mula belajar bulan Januari ini, semester pertama saya agar sukar bagi saya kerana sebelum ini saya skip daripada bidang akademik selama setahun setengah tetapi apa yang saya boleh cakap daripada segi akses untuk luncur air di kolej saya memang tiada masalah kerana banyak tasik-tasik yang membenarkan aktiviti meluncur berada dalam radius satu jam namun dari segi pelajaran saya perlu lebih fokus lagi.”
Peluncur air negara yang sudah meraih pelbagai gelaran di peringkat antarabangsa itu tidak terlepas dalam mengharapkan agar lebih ramai yang akan menyertai mereka untuk membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi dalam sukan ini.