Aaliyah mahu jadi seperti abangnya Alex Yoong, komited kejar gelaran No. 1 dunia!
Kedua-dua nama ini iaitu Aaliyah Yoong dan Alex Yoong memang tidak dapat dinafikan sebagai adik beradik yang berjaya mencetak nama masing-masing dalam sejarah sukan negara.
Aaliyah yang kini memegang gelaran rasmi sebagai peluncur ski air nombor satu di Malaysia manakala abangnya pula iaitu Alex Yoong sebagai satu-satunya pemandu yang berlumba di Formula 1 dalam sejarah sukan permotoran Malaysia.
Daripada salah silah keluarga Yoong ini sendiri sudah dapat kita simpulkan darah sukan yang mengalir dalam diri setiap anak-anaknya selain ayahnya sendiri berjaya mendidik mereka sekaligus menjadi yang terbaik.
Aaliyah yang kini berusia 20 tahun dan telah memenangi pelbagai kejuaraan sejak di usia muda lagi telah menyatakan hasratnya dalam meraih gelaran peluncur nombor satu dunia yang mana beliau kini berada di kedudukan nombor satu Asia.
“Ya betul, saya lahir dalam keluarga sukan, sejarah ayah saya dahulu sejak sekolah menengah telah menceburi pelbagai bidang sukan antaranya berenang, trek dan padang dan impian saya adalah untuk menjadi nombor satu di dunia satu hari nanti, Insha-Allah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau yang ditanya mengenai anak abangnya iaitu Alister yang kini mula mengikut jejak langkah bapanya dalam dunia permotoran, Aaliyah berharap anak buahnya itu dapat menjadi seorang pelumba berjaya satu hari nanti.
“Alister, saya harap sangat dia menjadi pemandu yang baik suatu hari nanti memandangkan dia juga mempunyai abang saya disisinya yang secara tak langsung Alister ikut jejak langkahnya dan saya harap dia akan berjaya selepas ini.”
Alister Yoong yang berumur 20 tahun itu kini sedang beraksi di Itali dalam sebuah kejohanan iaitu Italian Sport Prototypes Championship dan menurut pencapaiannya sepanjang kariernya amat memberangsangkan dengan berjaya meraih gelaran juara di Formula 4 sebanyak dua kali.
Di samping itu, Aaliyah turut memberitahu bahawa beliau kini sedang berjinak-jinak dengan sukan papan luncur dan berkata beliau mungkin akan bermain sukan tersebut sekiranya tidak terlibat dengan ski air.
“Saya membesar dalam industri sukan, saya telah cuba pelbagai jenis sukan, saya bermain bola tampar, menunggang kuda, berenang, trek dan padang serta paling terbaharu saya menceburi bidang papan luncur (skateboarding) dan jika saya tidak ski air mungkin saya akan bermain papan luncur.”
Sementara itu, Aaliyah turut memberitahu kini beliau dalam persiapan untuk menyertai kejohanan dunia di Florida yang bakal menjadi pentas utama dalam pengejaran gelaran nombor satu dunia yang diimpikannya.
Selain daripada itu juga, beliau kini masih lagi membiasakan diri dengan cara pembelajaran dan waktu latihannya selepas menerima anugerah biasiswa daripada Yayasan Sime Darby (YSD) dengan menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Florida Southern College.