Panggilan skuad kebangsaan penting, tapi bermain di kelab juga penting demi kelangsungan karier
Pemain wanita skuad Malaysia University Football Team (MUFT-W), Nurul Azurin Mazlan percaya bukan semua perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan memerlukan seseorang pemain turun beraksi.
Nurul Azurin yang bermain di posisi penjaga gol tidak menidakkan bahawa tindakan menolak panggilan untuk bermain dengan skuad kebangsaan adalah perilaku yang salah namun ia juga perlu mengambil kira beberapa aspek penting yang mempengaruhi karier bola sepak mereka di kelab yang mereka sertai.
Beliau memberitahu bahawa sekiranya panggilan pasukan kebangsaan untuk perlawanan yang berada di dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah semestinya beliau akan turun namun jika sebaliknya beliau harus mendapatkan persetujuan daripada kelab terlebih dahulu.
“Sudah tentu kita nak karier kita menjadi lebih profesional dan nak cari pengalaman di luar, sekiranya dapat panggilan untuk skuad kebangsaan sudah pasti saya akan balik sekiranya ia adalah perlawanan dalam kalendar FIFA dan sudah pasti saya perlu dapatkan persetujuan daripada kelab terlebih dahulu tapi apa-apa pun saya akan utamakan negara juga,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain itu, pemain senior skuad kebangsaan wanita itu turut memberitahu bahawa bukan keputusannya untuk tidak bermain di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini tetapi kelabnya di India tidak mahu melepaskannya kerana mereka baru sahaja memulakan liga dan temasya itu sendiri berada di luar kalendar FIFA.
“Secara jujurnya semasa Sukan SEA, saya dalam kontrak profesional bersama pasukan saya di India dan saya dah tandatangan dari Disember sampai Jun jika kita dalam kontrak pro ini kita tidak boleh buat keputusan sesuka hati terutama untuk bermain di luar kalendar FIFA.
Semasa Sukan SEA berlangsung kami di sana baru bermain di perlawanan ketiga dan selepas perbincangan panjang mereka tidak benarkan saya bermain di Sukan SEA, jadi saya fokus kepada kelab sahaja ketika itu,”
Nurul Azurin yang ditemui semasa sesi latihan MUFT-W turut memberitahu perancangan yang dibuat bersama pengurusnya berkenaan hala tuju kariernya memandangkan kini jendela perpindahan buat bola sepak wanita masih lagi terbuka.
“Sekarang fokus saya adalah kepada MUFT ada beberapa perbincangan sedang berjalan kerana jendela perpindahan masih lagi terbuka dan ada banyak kemungkinan jadi saya dan pengurus sedang usahakan beberapa perkara tetapi belum pasti dan kami pun belum tandatangan mana-mana kontrak lagi.”
Pemain muda berusia 23 tahun ini merupakan salah seorang pemain yang berjaya menembusi pasaran bola sepak wanita apabila berjaya bermain di Indian Women’s League (IWL) bersama pasukan Misaka United FC.