HIO bakar semangat Sukree Othman untuk pamer permainan lebih berkualiti

103

Pemain golf profesional negara, Sukree Othman mendapat tonik tambahan untuk kembali bangkit apabila berjaya melakukan pukulan ‘Hole in One’ (HIO) di lubang ke-16 pada hari kedua kejohanan Supra Cup 2023 di The Mines Resort & Golf Club.

Menurut Sukree, pukulan HIO yang berjaya dilakukannya itu sedikit sebanyak membakar semangatnya semula untuk kembali bangkit untuk pamer permainan yang lebih baik.


“Untuk hari kedua ini saya sebenarnya bergelut sejak semalam lagi termasuklah hari ini apabila short games saya kurang berkesan termasuk putting yang kurang baik menyebabkan saya bogey dan double bogey.

Bagaimanapun pada lubang ke-16 saya bertuah apabila berjaya melakukan Hole in One yang mana ia membakar semula semangat saya untuk bermain dengan lebih baik,”

katanya.

Sukree menamatkan permainan pada hari kedua dua di atas par dengan 73 pukulan untuk mengumpul 149 pukulan, tujuh di atas par.

“Untuk esok saya perlu segera perbaiki short games seperti chipping dan putting. Keadaan padang agak baik tapi saya bergelut dengan pukulan mid iron dan long iron.

Dalam pada itu, untuk hari terakhir kejohanan beliau berharap agar dapat memperbaiki skor untuk cuba menempatkan diri dalam kelompok 30 pemain terbaik.

Terdahulu, pencapaian terbaik Sukree pada tahun ini adalah pada kejohanan Corolla Cup di Royal Perak Golf Club, Perak yang mana beliau berjaya menduduki kedudukan keenam.

Esok adalah hari terakhir kejohanan Supra Cup 2023 yang mana ia menawarkan jumlah wang hadiah terkumpul RM180,000.