Mampukah Syamsul Saad bawa Kelantan United FC atasi Kelantan FC?
Pada musim 2022, pasukan Kelantan United FC (KUFC) dilihat membuat persiapan lebih awal dan rapi apabila boleh dikatakan setiap hari mengemaskini perkembangan baru mereka bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim ini.
Berbeza dengan ‘si abang’ iaitu TRW Kelantan FC yang ‘menyembunyikan’ persiapan, Kelantan United pula sangat aktif di media sosial dengan kemaskini perkembangan terbaru mereka seperti pemain, staf pasukan dan barisan kejurulatihan.
Antara yang menarik adalah pelantikan bekas ketua jurulatih Perak FC & Perak FC II, Syamsul Saad sebagai pengendali baru Kelantan United.

Syamsul mempunyai rekod yang cemerlang ketika bergelar pemain, sebelum menukar kerjaya sebagai ketua jurulatih selepas mengalami kecederaan serius.
Beliau memulakan kerjaya sebagai ketua jurulatih di Kiddo Kickers Academy sebelum menyertai pasukan Perak sebagai jurulatih belia. Kejayaan bersama pasukan belia telah membuatkan Syamsul dinaikkan pangkat untuk mengendali pasukan senior pada tahun 2016.
Musim lalu Syamsul telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan Perak II yang mana pasukan itu mengakhiri musim di tangga ke-10.
Dengan rekod yang ‘biasa-biasa’ tanpa sebagai kejayaan signifikan sepanjang bergelar sebagai ketua jurulatih, Syamsul diberi peluang sekali lagi untuk membuktikan kemampuannya mengendalikan Kelantan United.
Bagaimanapun persoalannya kini adakah beliau mampu membawa pasukan Kelantan United menjadi salah sebuah pasukan pencabar utama di Liga Perdana atau sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan musim lalu yang menduduki di tangga ketujuh.

Musim lalu, mereka yang berada di belakang Kelantan berjaya memenangi lapan perlawanan, dua seri dan 10 kekalahan.
Atau yang paling penting mampu menandingi pasukan Kelantan berikutan mereka sudah dua musim berturut-turut berada di belakang ‘si abang’.
Kelantan United menjadi pasukan terawal yang sudah lengkap senarai pemain dan sudah pun memulakan latihan mereka baru-baru ini.
Pada musim ini Kelantan United hanya akan menggunakan dua pemain import sahaja dari Jepun iaitu Masashi Motoyama di bahagian tengah dan Shuhei di barisan pertahanan.