Saya turut kecewa dengan kekalahan Todak, saya tak rasa kalau kami minta maaf mereka akan terima- Hazim Firdaus
Penganalisis pasukan Todak Esport, Muhammad Hazim Firdaus akui kekalahan skuad elit Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Malaysia itu di kejohanan antarabangsa Snapdragon Pro Series merupakan satu lagi episod duka susulan gagal melayakkan diri ke peringkat lebih jauh di MSC bulan lalu.
Hazim yang ditemui memberitahu sebagai seorang penganalisis corak permainan pasukan tersebut turut merasai kesedihan dan kekecewaan para peminat Todak kerana gagal untuk melayakkan diri ke peringkat yang lebih jauh selain mendengar keluhan peminat yang bertanya tentang pemain-pemain yang dihantar ke kejohanan.
“Saya tak terlibat dengan Snapdragon dan MSC tetapi saya bersetuju dan saya kecewa dengan kekalahan Todak baru-baru ini, saya tak rasa kalau kami minta maaf mereka akan terima, tapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk tambah baik agar kami boleh bersaing di peringkat antarabangsa,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam kejohanan Snapdragon Pro Series baru-baru ini, Todak menampilkan barisan pemain-pemain pelapis dan kemaraan mereka disekat diperingkat awal namun wujud juga persoalan tentang pasukan-pasukan berstatus juara dunia yang menghantar barisan pemain utama mereka di kejohanan tersebut.
“Ini bukan alasan, kenapa pasukan-pasukan lain hantar barisan pemain utama adalah disebabkan mereka sudah memulakan saingan liga seperti Onic Esport Indonesia dan mereka mahukan pemain utama mereka sentiasa bersedia dan panas untuk menghadapi perlawanan di peringkat liga.”
Namun Hazim yang ditemui semasa sesi sidang media Majlis Pelancaran Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) musim ke-12 tadi turut memberikan bayangan Todak bakal tampil berwajah baru terutama daripada barisan pemain yang mana akan diisi pemain lama dan juga baru.
Menjelang perlawanan pembukaan MPL MY musim ke-12 pada Ogos depan, Hazim turut menyebut beberapa pasukan yang bakal memberi cabaran buat Todak musim ini dalam misi mereka meraih kejuaraan berturut-turut daripaa musim lepas iaitu, Homebois, Yoodo Red Giants dan juga RSG MY.