Sementara pemain wanita negara jiran bermain di luar negara, pemain wanita Malaysia masih bersaing di negara sendiri

356

Kemeriahan perkembangan bola sepak wanita di rantau Asia dari hari ke hari semakin rancak dengan Piala Dunia Wanita FIFA juga sedang berlangsung ketika ini.

Negara jiran iaitu Thailand juga tidak ketinggalan apabila pemain wanita mereka iaitu Taneekam Dangda yang merupakan pemain skuad kebangsaan bakal berkelana ke Liga Wanita Jepun divisyen tiga iaitu AC Nagano Parseiro.


Perkhabaran baik berkenaan adik kepada penyerang sensasi Thailand iaitu Teerasil Dangda itu merupakan langkah kanan kepada perkembangan pemain wanita di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, di Malaysia suasana berbeza pula apabila perkembangan bola sepak tidak semeriah seperti yang sepatutnya selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan penarikan diri pasukan Kuala Lumpur dan MBSJ dari saingan Liga Wanita Nasional (LWN) untuk edisi 2023.

Persaingan LWN musim ini sepatutnya menjadi lebih menarik lagi dengan saingan dijangka akan lebih sengit lagi berbading musim lalu, namun nampaknya dengan penarikan ia akan memberi impak cukup besar dalam saingan liga.

Berikutan penarikkan diri itu, liga yang sepatutnya terdiri daripada lapan kelab kini hanya terdiri daripada enam pasukan yang bertanding sahaja dan menjadi semakin kurang kompetitif buat pasukan yang bertanding.

Platfom yang sepatutnya menjadi medan utama buat para pemain bola sepak wanita menonjolkan bakat mereka dan bersaing untuk mendapatkan tempat mewakili skuad Malayan Tigress tidak seperti yang digambarkan.

Semoga pemergian pemain wanita dari rantau Asia ke luar negara yang sudah mendapatkan tempat dan dipandang menjadi sumber inspirasi kepada pemain wanita negara untuk turut meningkatkan prestasi diri untuk bersaing dengan lebih produktif.

Tambahan pula dengan berita kemenangan skuad wanita Filipina yang berjaya mendapatkan kemenangan pertama mereka di pentas besar Piala Dunia Wanita juga perlu dijadikan contoh terbaik.

Sekiranya pemain wanita negara ingin pergi lebih jauh maka dengan berpindah ke liga luar negara pasti dapat menambah pengalaman justeru memajukan bola sepak negara.