Abang Lord tak merajuk, MAB Esport masih ada tapi di PUBGM
Setelah beberapa musim tiada kelibat MAB Esport dalam kancah Mobile Legends Bang Bang Professional League Malaysia (MPL MY), Abang Lord tampil bersuara tanda masih lagi aktif dan tiada isu merajuk dengan mana-mana pihak.
Abang Lord atau nama sebenarnya Daniel Aizat Rames Abdullah akui masih lagi berniat untuk kembali ke MPL MY namun sedang menunggu masa yang sesuai memandangkan sebelum ini beliau telah gagal mempersiapkan pasukan yang mampu bersaing di pentas profesional itu.
“Tiada isu merajuk, kalau sudah tiada rezeki, kita gagal untuk mempersiapkan pasukan itu salah kita, jadi kita kena mengaku pada kelemahan kita tanpa menyalahkan rezeki,
Selepas musim 9, saya gagal menyediakan satu pasukan yang kompetitif dalam MPL MY dan saya mengaku perkara itu kerana ia adalah kenyataan, niatnya ada untuk kembali tapi belum pasti masanya bila.”
Abang Lord turut mengingatkan kepada para pemain tempatan untuk tingkatkan prestasi dan sentiasa mempunyai semangat kompetitif memandangkan kini telah banyak pasukan yang mula membawa masuk pemain-pemain import bagi memantapkan lagi corak permainan.
Selain itu, beliau yang suatu masa dahulu menjadi fenomena dalam komuniti permainan ini juga memberitahu beliau tidak mahu meninggalkan MLBB terlalu lama kerana ini merupakan minatnya selain beliau akan memastikan akan ada masa yang sesuai untuk pasukan MAB Esport kembali ke kancah MPL MY dengan persediaan yang lebih rapi.
“Untuk fans Abang Lord dan MAB kita akan cuba lagi, sebab MLBB adalah passion saya dan saya harapkan dengan kemasukkan pemain-pemain import ini dapat membuatkan para pemain tempatan menjadi lebih semangat untuk bersaing dan dapatkan prestasi yang terbaik sekaligus Malaysia dapat meningkatkan lagi prestasi mereka terutama di peringkat antarabangsa.”
Abang Lord kini lebih memfokuskan pasukan PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM) MAB Esport yang sedang beraksi untuk Pubg Mobile Professional League (PMPL) yang mana lebih menunjukkan peningkatan daripad segi prestasi meskipun permainan tersebut tidak lagi popular seperti musim-musim sebelum ini.
“Untuk pasukan PUBGM MAB Esport, mulanya kita ada dalam scene PMPL MY daripada musim ke-5 sehingga sekarang prestasi pasukan tu sedang menaik daripada kedudukan belas-belas hinggalah musim terbaru kami di top 5, jadi sayang untuk bubarkan walaupun scene PUBGM itu sendiri tidak gah lagi, saya harap PUBGM ini suasananya selepas ini semakin baik daripada segi pemasarannya juga tetapi jika masih sama juga, mintak maaf saya terpaksa bubarkan.
ucapnya lagi