Saat terakhir nama saya tidak disenaraikan untuk lompat tinggi dan itu merupakan keputusan pihak pengurusan- Norliyana Kamarudin

298

Tampil dengan catatan rekod lompatan lebih baik daripada pemenang pingat emas bagi acara lompat tinggi, Norliyana Kamarudin yang merupakan atlet heptathlon negara akui sudah buat persiapan rapi namun namanya tercicir saat-saat akhir sebelum Kejohanan Sukan SEA Kemboja yang lalu.

Atlet yang lebih selesa dipanggil Liyana itu memberitahu bahawa sudah dua kali perkara ini berlaku kepadanya apabila rekod lompat tingginya dalam acara hepthatlon mengalahkan pemegang pingat emas dalam temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.


“Sudah dua kali jadi seperti ini dimana rekod lompat tinggi saya dalam heptathlon melebihi pemenang pingat emas bagi acara lompat tinggi berdasarkan persediaan yang saya dah buat untuk Sukan SEA tahun ini memang saya sasarkan untuk dua acara itu heptathlon dan lompat tinggi, tetapi saat terakhir nama saya tidak disenaraikan untuk lompat tinggi dan itu merupakan keputusan pihak pengurusan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Liyana turut menyangkal segala khabar angin mengatakan beliau mengelak daripada menyertai acara tersebut malahan beliau sudah melakukan sehabis baik daripada segi persiapan dan juga menunjukkan prestasi yang meyakinkan dalam acara utamanya iaitu heptathlon.

“Jadi jika ada yang kata saya tak mahu melompat itu tak betul sebab saya sudah buat persiapan awal dan saya dah lalukan tugas saya sebagai atlet, cuma pihak pengurusan yang tetapkan jadi tugas saya untuk buat persiapan awal bagi lompat tinggi memang ada disebabkan dalam heptatlon pun ada acara lompat tinggi.”

Atlet yang kini berumur 32 tahun itu sudah tampil dalam beberapa siri temasya Sukan SEA dan antara rekod terbaiknya adalah semasa berjaya memecahkan rekod milik atlet heptathlon wanita negara, Zaiton Othman dalam temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur 2017 meskipun tidak memenangi sebarang pingat.

Liyana menyeru agar semua peminat olahraga tempatan untuk tidak cepat menghukum rakan-rakan atletnya kerana mereka tidak pernah berputus asa dalam setiap acara dan kejohanan yang disertai.

“Bagi saya doa dan kata-kata sokongan itu sangat penting bagi kami sebagai atlet terutama daripada kalangan peminat mahupun orang yang mengenali kami dan jangan pernah cepat menghukum.

Sebenarnya lepas sea games ni saya ada sedikit penurunan jadi saya kena dapatkan kembali prestasi saya dari segi teknik dan mood dalam pertandingan. Jadi untuk Terbuka Johor lebih kepada mengembalikan semula momentum saya bagi persediaan kepada Sukan Asia dan sejujurnya saya mahu lebih tenang dan enjoy sahaja bagi dapatkan semula prestasi lompatan saya yang sebelum ini.”

Liyana dalam masa terdekat akan menyertai beberapa kejohanan kecil bagi mencari kembali momentum dan prestasi sekaligus mempersiapkan dirinya bagi Sukan Asia ke-19 Hangzhou yang bakal berlangsung pada September depan.