Kami yakin boleh melakukannya dan kami mempunyai kejutan buat mereka – Patt Sriwijit
Ketua jurulatih Selangor TOT, Patt Sriwijit menyuarakan keyakinan terhadap pasukannya untuk melakukan kebangkitan untuk tewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) hujung minggu ini.
Sriwijit berkata demikian selepas pasukannya tewas 7-5 dalam perlawanan cukup dramatik pada separuh akhir pertama.
“Kami yakin boleh melakukannya dan kami mempunyai kejutan buat mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pasukan itu sedang bersedia memberikan aksi yang diluar jangkaan khas untuk perlawanan separuh akhir ini bagi merampas kembali kemenangan pada aksi yang akan berlangsung di tempat lawan Ahad ini di Stadium Bandaraya Pasir Gudang.
Menurut jurulatih dari Thailand itu, aspek kelemahan utama pasukan tersebut tempoh hari adalah apabila sedang bertahan ketika pasukan lawan membuat serangan melalui sepakan penjuru sehingga membuatkan aspek berikut menjadi lubuk utama mereka bolos dengan mudah.
“Setelah kami menganalisis kembali, kami mempunyai masalah besar pada bahagian pertahanan apabila lawan mengambil sepakan sudut. Kini kami sedang berlatih untuk memperbaiki masalah itu”
Dalam pada itu, beliau juga sudah mempunyai perancangan ampuh menjelang perlawanan separuh akhir kedua nanti walaupun kehilangan dua tonggak utama.
Perkara utama yang akan ditekankan adalah mahu pemain fokus 100% sepanjang tempoh beberapa hari ini menjelang perlawanan kedua.
Tambahnya lagi, jika pemain berjaya terapkan segala perancangan dan taktikal yang dirancang, tiada sebab untuk pasukan mereka kalah nanti.