Mungkin kami perlu kalah dahulu sebelum menang – Yazid Kamaruzuan
Ketua pasukan Selangor TOT United, Yazid Kamaruzuan melihat kekalahan pasukannya kepada pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir Malaysia Premier Futsal League (MFPL) pertama tempoh hari dari satu sudut yang positif dilihat sebagai satu mentaliti yang baik.
Menurut Yazid, kekalahan pasukannya tempoh hari juga boleh menjadi satu pengajaran untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan separuh akhir kedua nanti dalam mengetahui kelemahan pasukan justeru memperbaikinya.
“Bagi saya selepas perlawanan hari itu, kami terus mengetahui kesilapan kami di mana jadi boleh dikatakan kemungkinan kami perlu kalah terlebih dahulu sebelum menang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Untuk perlawanan di Pasir Gudang kelak, kehilangan dua pemain sedikit sebanyak akan menjejaskan pasukannya tetapi beliau tetap melihat dari sudut pandang yang lebih kehadapan dimana ia boleh membuka satu ruang buat pemain lain kehadapan.
“Kami sudah berlatih selama lapan bulan seramai 20 pemain dan sekarang adalah masa untuk mereka kehadapan jika sebelum ini mereka kurang dapat minit permainan. Sekarang adalah waktu untuk mereka bersinar dan bantu pasukan.”
Walaupun pasukan JDT mempunyai kelebihan dengan dua jaringan gol tetapi Yazid yakin pasukannya mempunyai mentaliti yang kuat untuk bangkit dan mendapatkan keputusan yang memberansangkan kerana baginya tiada apa yang mustahil.
“Saya berpuas hati dengan pemain saya, dan mempunyai mentaliti yang kuat. Bagi kami jika pergi untuk kalah lebih banyak tak payah pergi.”
Beliau juga menganggap meninggalkan keluarga untuk pergi bersaing sebagai satu motivasi buat semua pasukan yang akan berjuang pada aksi separuh akhir kedua pada Ahad ini.