Kelantan FC belum boleh lega lagi, pemain dan kakitangan beratur kata gaji belum terima

828

Kelantan FC masih belum boleh tarik nafas lega dengan penarikan semula sekatan perpindahan pemain daripada Malaysian Football League (MFL) yang mana siasatan dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) masih lagi berjalan.

MFL baru-baru ini memuatnaik kenyataan berkenaan penarikan semula sekatan perpindahan pemain yang diputuskan oleh badan bebas First Instance Body (FIB) selepas organisasi tersebut menerima segala dokumen yang diperlukan daripada pemilik pasukan The Red Warriors, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.


Meskipun semua kemelut Kelantan yang melibatkan badan organisasi bola sepak dalam negara boleh dikira sudah selesai namun perlu diingatkan keputusan yang dijatuhkan oleh FIFA adalah muktamad dan tidak boleh ditarik semula.

Kelantan sebelum ini sudah berada dalam pemerhatian FIFA disebabkan beberapa aduan rasmi yang dibuat oleh beberapa individu yang merasakan diri mereka ditindas oleh kelab tersebut antaranya bekas ketua jurulatih awal musim ini iaitu Choi Moon-sik dan Kervens Belfort.

Selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk tersebut masih banyak pihak yang membidas dan mengatakan isu pembayaran gaji dan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih belum dijelaskan.

Antara pemain yang sehingga kini masih terpalit dengan isu bayaran gaji dan KWSP ini adalah bekas penjaga gawang Rozaimi Rahamat dan juga Farhan Abu Bakar yang mempersoalkan keputusan FIB dan MFL untuk menarik semula sekatan sedangkan mereka masih belum menerima sepenuhnya bayaran yang sepatutnya mereka terima.

Sebelum ini Farhan sudah berjumpa dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi mengetengahkan isu tunggakkan gaji serta pengurusan yang melanda skuad dari Pantai Timur itu.

PFAM yang sudah ambil maklum sudah memulakan langkah mereka membawa isu ini ke muka pengadilan bagi mengembalikan hak pemain-pemain yang ditindas dek pengurusan kelab yang tidak profesional.

FAM sebelum ini terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan berkenaan penarikan semula sekatan perpindahan pemain yang dijatuhkan kepada Kelantan dan kali ini FIB turut mengangkat tangan dari isu yang melibatkan pasukan itu dengan melepaskan mereka daripada denda yang sama.

Perkara ini seolah-olah badan induk bola sepak Malaysia mahu memberi ruang kepada TRW memperbaiki pengurusan serta menyelesaikan isu yang dihadapi sekaligus mengelakkan daripada dikenakan penalti oleh FIFA.