Dalam bola sepak ini bukan kita sahaja yang boleh bercakap, pemain juga mempunyai hak untuk menyuarakan idea masing-masing – Shazwan Wong

571

Penolong ketua jurulatih pasukan LMS Tigress iaitu Shazwan Wong mengambil kesempatan dengan menjadikan perlawanan persahabatan sebagai satu tempat untuk mencuba beberapa formasi dan pelbagai strategi bagi menambah baik prestai pasukan bimbingannya itu.

Aksi persahabatan itu juga dijadikan medium eksperimen untuk mencari kelemahan pasukan agar boleh ditambah baik sebelum bermulanya Liga Nasional Wanita (LWN) 2023 pada Sabtu depan.


“Posisi yang perlu diperbaiki setelah aksi malam ini adalah pada kawasan full-back, jadi kami dapat mencuba para pemain agar bermain pada posisi yang berbeza. Dan cara permainan perlu diperbaiki sebelum liga bermula,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bercakap soal kemasukan pemain import pula, Shazwan tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif buat masa ini kerana peluang untuk pemain wanita dapat bermain di Malaysia masih belum meluas lagi.

Tambahan pula, perkembangan bola sepak wanita di Malaysia masih di peringkat awal, maka peluang perlu diberikan kepada pemain tempatan terlebih dahulu untuk menonjolkan bakat sebelum menerima kemasukan pemain asing.

“Jika kita benar-benar mahu membangunkan permainan untuk pemain wanita, saya rasa biarkan sepenuhnya pemain tempatan sahaja dahulu.  Sekurang-kurangnya kita tidak memberikan tempat tersebut kepada pemain asing.”

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu kesediaannya untuk mendengar sebarang idea daripada pemain LMS Tigress sekiranya idea tersebut dapat membantu meningkatkan prestasi serta momentum pasukan untuk semakin maju.

“Dalam bola sepak ini bukan kita sahaja yang boleh bercakap, pemain juga mempunyai hak untuk menyuarakan idea masing-masing.”

Beliau juga berharap agar pasukan bimbingannya dapat memberikan saingan yang sengit di dalam liga walaupun pasukan-pasukan lain juga mempunyai pemain yang hebat.