Kelantan FC terdesak borong pemain untuk elak dari tersingkir ke Liga M3

1,204

Dengan jendela perpindahan yang bakal berakhir kurang daripada beberapa jam lagi, Kelantan FC dilihat terus rancak mengumumkan pemain-pemain baru yang akan memperkuatkan pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Selepas ramai pemain ambil keputusan untuk ‘cabut lari’ dek masalah gaji, pemilik kelab Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham rancak membuat perancangan dengan membawa masuk ramai pemain baru demi mengelak dari pasukannya tersingkir ke Liga M3 musim hadapan.


Ia susulan pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan bahawa musim ini akan ada penyingkiran bagi kedudukan dua pasukan tercorot liga.

Berikutan Liga Perdana dimansuhkan buat seketika, maka pasukan yang tercorot akan diturunkan ke liga semi profesional Liga M3.

Ketika ini kelab dari Pantai Timur itu sudah mengumumkan beberapa pemain import baru seperti Dennis Buschening, Youssef Ezzejjari, Aliakbar Ahmadi, Alie Sesay dan Ahmed Magdy.

Difahamkan, mereka dilaporkan akan membawa dua lagi pemain import Jordan Mintah dan Andik Vermansyah apabila memuat naik poster kedua-dua pemain itu di media sosial rasmi, namun tidak lama kemudian poster tersebut dipadam.

Tidak dinafikan, langkah yang dibuat oleh Kelantan adalah sesuatu yang cukup positif selepas mengharungi pusingan pertama liga yang cukup mencabar dengan pelbagai masalah termasuk dikenakan tindakan larangan perpindahan pemain sebelum ia ditarik balik.

Bagaimanapun, persoalan kini timbul samada mereka mampu terus konsisten untuk memastikan masalah gaji tidak lagi timbul untuk baki saingan liga kerana jika berlaku ia mungkin akan menyebabkan Kelantan terkubur terus.

Ia sesuatu yang cukup mengecewakan sekiranya kelab itu terkubur kerana Kelantan merupakan sebuah kelab yang penuh dengan legasi dan reputasi yang cukup hebat.

Oleh itu, diharap pecaturan baru yang dilakukan oleh pihak pengurusan kelab dapat mengembalikan zaman kegemilangan The Red Warrior.