Liga Wanita Nasional boleh jadikan Thai Women’s League sebagai penanda aras untuk melangkah lebih maju
Thai Women’s League baru sahaja menamatkan edisi kali ini dua hari lepas dengan pasukan Bangkok FC diangkat sebagai juara justeru akan mewakili Thailand dalam kejohanan Kelab Wanita AFC 2023 pada tahun ini.
Liga bertaraf semi profesional yang mempunyai 10 pasukan itu mula dianjurkan pada tahun 2019 yang mana ia diwujudkan untuk menjadi platform kepada pemain bola sepak wanita berbakat untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan Gajah Perang ke kejohanan antarabangsa.
Dalam pada itu, bola sepak wanita juga kini sedang ke arah itu apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Liga Wanita Nasional (LWN) bagi memberi ruang dan peluang kepada pemain wanita untuk mendapat perlawanan kompetitif.
LWN pada awalnya dikatakan bakal disertai oleh 10 pasukan, namun ketika saingan bakal bermula tidak lama lagi jumlah pasukan yang bertanding berkurang kepada enam pasukan sahaja.
Liga bola sepak wanita masih lagi baru dan penganjuran LWN adalah tindakan yang cukup positif dalam usaha untuk meningkatkan kualiti bola sepak wanita negara.
FAM tidak perlu menuntut ilmu sehingga ke Eropah untuk majukan bola sepak wanita, sebaliknya boleh jadikan negara jiran seperti Thailand sebagai contoh terbaik dalam usaha mereka memajukan bola sepak wanita.
Dengan wujudnya LWN, negara akan dapat melahirkan lebih ramai pemain yang berkredibiliti lalu secara tidak langsung meningkatkan kualiti pemain yang ada untuk diserap dalam skuad Malayan Tigress.
Perkembangan yang masih berada di peringkat awal ini dilihat sebagai satu potensi dalam memperluaskan lagi kejohanan agar lebih kompetitif di masa akan datang dengan penyertaan lebih banyak pasukan.
Tambahan pula, sejak kemasukan Soleen Al-Zoubi sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita merangkap penasihat bola sepak wanita, banyak perubahan yang dilakukan untuk membawa bola sepak wanita ke peringkat yang lebih tinggi.
Perkara ini perlu diambil positif sebagai permulaan yang baik buat arena sukan bola sepak sebelum lebih rancak pada edisi seterusnya yang mungkin akan menerima lebih banyak penyertaan justeru memperkasakan bola sepak wanita.