Pernah alami kecederaan kepala, Selangor FC perlu peka akan sejarah kesihatan Richmond Boakye
Selepas insiden pemain Selangor FC iaitu Richmond Boakye yang pengsan semasa perlawanan tempoh hari, Selangor FC harus lebih berwaspada soal kesihatan pemain tersebut kerana pernah mempunyai rekod kecederaan gegaran otak yang sama sebelum ini.
Insiden beliau rebah selepas bertembung dengan Sam Somerville ketika perlawanan menetang Johor Darul Ta’zim (JDT) seakan sama seperti episod ketika beliau rebah pada tahun 2013 selepas bertembung dengan penjaga gawang ketika mewakili kelab Elche CF.
Pada tahun 2016 juga, sekali lagi beliau pernah rebah selepas pelanggaran dengan pasukan lawan hingga menyebabkan beliau mengalami gegaran kepala lalu dibawa terus menaiki ambulans ke hospital.
Memandangkan kecederaan ini bukannya pertama kali berlaku, semestinya pasukan dari Lembah Klang itu sudah mengetahui berkenaan sejarah pemain tersebut dengan lebih awal sebelum menandatangani pemain tersebut pada pertengahan musim ini.
Oleh yang demikian, langkah berjaga-jaga dengan lebih teliti perlu dititipberatkan agar aspek kesihatan beliau tidak akan membebankan pasukan The Red Giant sendiri bagi menghadapi baki saingan Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia selepas kehilangan tonggak utama mereka.
Malaysian Football League (MFL) juga perlu peka serta memastikan agar sebarang kecederaan perlu diberikan perhatian lebih awal umumnya buat pengadil yang mengawal perlawanan untuk segera memberhentikan permainan sekiranya terdapat kecederaan yang teruk.
Ia supaya insiden seperti Boakye tidak terjadi lagi dimana pengadil lewat memberhentikan permainan walaupun pemain tersebut sudah lama rebah di atas padang.
Boakye kini masih lagi di dalam fasa pemulihan serta dijangkakan bakal terlepas beberapa perlawanan sebelum benar-benar kembali sihat untuk beraksi.