Lim Teong Kim harap rundingan dapat diselesaikan dengan baik, namun bersedia jika dibawa ke mahkamah

407

Bekas ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim berharap rundingan dengan pihak pengurusan Perak FC dapat mencapai kata sepakat pada mesyuarat rundingan kedua tidak lama lagi.

Menurut Teong Kim, beliau tidak mahu kesnya berlarutan ke peringkat mahkamah tapi sudah bersedia jika kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.


“Perbincangan kami hari ini untuk pendamaian bagi saya kita tidak capai satu persetujuan. Kita akan cuba sekali lagi sebelum 26 Ogos ini.

Saya tidak dapat dedahkan butiran perbincangan sebentar tadi, jadi saya harap semua pihak faham.

Jika gagal juga kita akan bawa ke mahkamah. Kami tidak mahu sampai ke mahkamah, jadi kita berharap mereka akan buat satu pendamaian,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat mesyuarat rundingan yang berlangsung di Jabatan Perhubungan Perusahaan di Ipoh, Perak.

Beliau turut menjelaskan bahawa mesyuarat rundingan bukan sahaja memperkatakan mengenai tuntutan bayaran baki 16 bulan dari kontraknya tapi juga beberapa perkara lain yang tidak dapat didedahkan.

Dalam pada itu, Adam Yap yang merupakan peguam kepada Teong Kim memberitahu bahawa perbincangan kali kedua turut gagal mencapai keharmonian, oleh itu perbincangan kali terakhir akan dilakukan sebelum tindakan selanjutnya.

“Ini adalah perbincangan kedua. Kami kalau boleh mahu selesaikan dengan cara baik tetapi jika tidak boleh, kita perlu rujuk kepada mahkamah untuk adili dan membuat keputusan sewajarnya.”

Pada hujung Jun lalu, Teong Kim bersama peguamnya telah membuat aduan atau representasi kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan berikutan penamatan kontrak yang disifatkan sebagai pra matang.

Sementara itu, pengendali berusia 59 tahun itu turut memberitahu bahawa buat masa ini beliau masih belum menerima sebarang tawaran dari mana-mana kelab.