FAM perlu bertegas pastikan insiden keganasan di Liga Malaysia tidak menjadi normal

253

Kemelut isu keganasan dalam Liga Malaysia semakin membimbangkan peminat bola sepak tempatan kerana budaya tersebut dapat mencemarkan imej liga yang sedang dalam landasan tepat untuk semakin mendapat tempat di mata dunia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberikan hukuman yang keras sebagai pengajaran kepada pihak yang bertanggungjawab agar perkara sebegini tidak berulang lagi di masa akan datang demi kebaikan liga.


Hal ini berikutan insiden yang melibatkan seorang peminat tempoh hari mendakwa dipukul semasa menonton perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Mengikut laporan polis yang dibuat mangsa mengesyaki dipukul oleh Johor Military Force (JMF) hingga perlu mendapatkan rawatan doktor serta disahkan mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di mata kanan dam lebam di seluruh badan.

FAM dalam satu kenyataan memberitahu bahawa pihaknya enolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan dengan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak dan akan memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian.

Dalam pada itu, keganasan yang melibatkan pegawai kejurulatihan iaitu Ramon Marcote baru-baru ini juga membimbangkan sehingga pembantu jurulatih pasukan Selangor FC tersebut dilaporkan telah membuat laporan pada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bukan itu sahaja, insiden wartawan dipukul oleh sekumpulan penyokong fanatik pada bulan lepas ketika sedang membuat liputan perlawanan Liga Super antara JDT dan Selangor juga merisaukan arena sukan bola sepak negara kerana bakal memberikan pandangan yang negatif kepada dunia luar.

FAM harus segera menyiasat mengenai insiden-insiden keganasan tersebut yang berlaku dalam tempoh yang begitu singkat dan mengambil tindakan tegas supaya ia tidak menjadi satu perkara yang normal di Liga Malaysia.

Insiden keganasan yang tiba-tiba menapak kembali dalam sukan bola sepak ini jelas merupakan satu tamparan buat FAM untuk meningkatkan lagi tahap ketegasan dalam memberikan hukuman demi menjaga kebajikan Liga Bola Sepak negara agar lebih terjamin.

Dengan tindakan tegas dan keras seperti denda serta hukuman kepada pihak yang bertanggungjawab mampu dijadikan sebagai peringatan, justeru akan dapat memastikan tiada lagi pihak yang berani membuat perkara yang sama pada masa hadapan.