Lagi dua hari LWN 2023 buka tirai, mana jadual perlawanan?
Berbaki dua hari lagi sebelum saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 membuka tirainya dengan enam pasukan bakal merebut kejuaraan untuk edisi kali ini.
Namun, kehangatan saingan itu ibarat tidak terasa langsung kerana sehingga kini masih belum ada jadual rasmi daripada pihak penganjur iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun sepak mula sudah semakin dekat.
Sebelum ini, dua pasukan iaitu Kuala Lumpur dan MBSJ FC telah menarik diri daripada saingan tersebut, mengurangkan jumlah pasukan yang bertanding daripada lapan kepada enam, manakala saingan LWN 2023 yang sepatutnya bermula pada 29 Julai terpaksa ditunda kepada 5 Ogos.
Penganjuran kali ini dilihat agak caca merba, dengan segala perubahan pada saat akhir, penarikan diri pasukan serta jadual yang masih belum diputuskan.
Dengan tekad FAM sebelum ini yang mahu membangunkan bola sepak wanita yang sudah jauh ketinggalan, apa yang berlaku kepada LWN 2023 nampaknya menunjukkan sebaliknya.
Jika FAM betul-betul serius mahu menaikkan martabat bola sepak wanita, mereka perlulah menunjukkan kesungguhan untuk berbuat demikian.
Jika LWN yang sepatutnya menjadi platform buat pemain-pemain wanita negara bermain secara kompetitif tidak dianjurkan dengan baik, bagaimana bola sepak wanita di negara ini mahu berkembang.
Ia juga seolah-olah menunjukkan ada layanan double standard terhadap bola sepak lelaki dan wanita di negara ini.
Pengambilan ketua jurulatih dari Jordan iaitu Soleen Al-Zou’bi untuk merevolusikan bola sepak wanita di negara ini adalah satu perkara yang baik, tetapi jika ia tidak disusuli dengan usaha yang sepatutnya dari pihak FAM, perkara itu hanyalah akan sia-sia.
Selain itu, pengumuman pada saat-saat akhir pastinya akan memberi kesan kepada pasukan-pasukan yang bertanding untuk membuat persiapan sewajarnya dalam menghadapi kejohanan itu.
Jika perkara seperti ini terus berlaku, mungkin lama lagi untuk kita melihat bola sepak wanita di Malaysia mampu menunjukkan peningkatan dan bersaing dengan negara-negara Asia Tenggara lain yang lebih kuat.