Stadium Larkin guna rumput hybrid, setanding rumput di Anfield

1,061

Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi memperlihatkan kemajuan mereka dalam dunia bola sepak apabila akan menaik taraf padang dengan di Stadium Larkin kepada rumput jenis hybrid.

Penggunaan rumput jenis hybrid itu akan menyaksikan stadium tersebut akan menjadi yang pertama di Malaysia menggunakan rumput jenis hybrid yang mana rumput jenis itu turut digunakan di Stadium Anfield milik kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool.


Kerja-kerja naik taraf padang itu dikongsikan menerusi media sosial rasmi Johor Southern Tiger (JST) sekaligus menyaksikan mereka terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah sebuah kelab terbaik di rantau Asia Tenggara.

Untuk pengetahuan semua, rumput jenis hybrid ini adalah gabungan gabungan antara rumput tiruan dan juga rumput asli yang mana ia mempunyai banyak kelebihan antaranya mempercepatkan proses pembaikkan rumput yang rosak.

Selain itu, padang akan mempunyai ketahanan lasak tiga kali ganda dan mengurangkan kos penyelanggaran bagi tempoh jangka masa panjang sebanyak 70%.

Meskipun ia merupakan pemasangan yang pertama di Malaysia namun dari segi kelebihan rumput ini kita sendiri boleh lihat ia amat sesuai digunakan dalam stadium-stadium di seluruh Malaysia memandangkan banyak kelab atau kerajaan negeri yang masih berkira-kira tentang kos penyelenggaraan rumput apabila sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan tentang geran rumput Zeon Zoysia yang diberikan secara percuma.

JDT sememangnya sudah jauh meninggalkan pasukan-pasukan tanah air baik dari segi corak permainan hinggakan fasiliti stadium dan perkembangan kelab.

Hal ini sudah semestinya tidak dibina hanya dalam tempoh satu musim sahaja, namun setiap kejayaan dikecapi memerlukan masa serta usaha dan itulah yang dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak tahun 2013 dalam membina empayar JDT yang kian kebal sehingga ke hari ini.

Sebelum ini TMJ juga yang menjadi individu penting dalam menjayakan penukaran rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekaligus menambahkan lagi kualiti padang di stadium yang menjadi home buat skuad Harimau Malaya.

Sementara itu, mungkin kelab-kelab lain juga dapat ambil maklum dengan apa yang dilakukan oleh JDT dan mengikut jejak langkah sama dengan menaik taraf padang masing-masing kepada rumput jenis hybrid.

Sekiranya kesemua stadium bola sepak di negara memberi keutamaan kepada kualiti rumput, ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti bola sepak tanah air.