Pelantikkan Rakphol Sainetngam bakal beri nafas baru buat skuad futsal negara

397

Teka-teki mengenai siapakah ketua jurulatih baru pasukan futsal kebangsaan akhirnya bakal terjawab juga apabila nama seorang jurulatih prolifik dari Thailand iaitu Rakphol Sainetngam dikatakan bakal dilantik sebagai pengendali baru skuad futsal negara.

Sekiranya benar, pelantik pengendali itu akan membawa nafas baru buat skuad futsal negara yang bakal mengharungi saingan kelayakan Piala Asia Futsal 2024 kurang dari dua bulan sahaja lagi di Uzbekistan.


Maka, persediaan yang rapi dengan corak taktikal dan gaya permainan daripada jurulatih baru tersebut perlu diterapkan dengan segera sebelum menjelang kejohanan yang akan disertai itu.

Jurulatih yang terkenal dengan ‘Thai Style’ itu dilihat sebagai calon terbaik kerana mempunyai penggalaman yang luas dalam bola sepak di Asia selain fasih untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Beliau juga pernah membawa kelab gergasi futsal di Thailand iaitu Bluewave Chonburi merangkul beberapa kejuaraan di peringkat Asia dan dua bulan lepas beliau juga baru sahaja menjuarai kejohanan AFF Futsal Club 2023 bersama kelab futsal dari Indonesia iaitu Black Steel.

Tambahannya pula, penggalaman besar pengendali tersebut yang pernah mengendalikan skuad futsal Thailand dalam kejohanan Piala Dunia Futsal FIFA pada tahun 2021 pasti akan menjadi pendorong terbaik buat Malaysia untuk memperbaiki justeru meningkatkan mutu permainan.

Rakphol dijangkakan bakal diumum secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 7 Ogos ini dengan misi juga untuk membawa pasukan futsal kebangsaan layak ke Kejohanan Piala Dunia Futsal FIFA pada tahun hadapan.

Dengan kerancakkan Malaysia Futsal Premier League (MPFL) 2023 yang sedang berlangsung kini pasti memudahkan Rakphol untuk memilih permain terbaik sebelum dibawa ke edisi kelayakan kejohanan Piala Asia dan Piala Dunia yang akan datang nanti.