Bola sepak akan jadi ‘alat’ gimik promosi filem selepas ini?
Disebalik kerancakkan saingan Piala Malaysia 2023 yang membuka tirainya semalam, ada perkara lain yang menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air membabitkan perlawanan di antara PDRM FC dan Selangor FC semalam.
Perkara yang menjadi perhatian bukan di dalam padang, tetapi di luar padang apabila kelihatan empat kelibat yang memakai kostum jubah menutupi seluruh tubuh dilihat duduk di tempat duduk penyokong dengan bersahaja.
Situasi ini nyata sedikit menyeramkan buat segelintir peminat yang hadir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang terkejut melihat kelibat tersebut.
Tanda tanya mengenai perkara itu akhirnya terjawab juga apabila ramai yang berkongsi mengenai kelibat hitam tersebut adalah watak untuk sebuah filem seram berjudul Rahsia yang ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) August 3, 2023
Gimik untuk mempromosikan filem tersebut boleh dikatakan berjaya apabila mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Tidak dapat dinafikan gimik yang dilakukan adalah satu idea yang cukup bernas kerana mereka sedia maklum bahawa bola sepak merupakan sukan nombor satu negara dan mempunyai ramai peminat, oleh sebab itu mereka gunakan bola sepak untuk tarik orang ramai ke pawagam.
Gimik ini dapat dijayakan kerana penerbit filem Rahsia adalah dari Astro Shaw yang merupakan anak syarikat Astro yang merupakan penyiar rasmi Liga Malaysia musim ini.
Oleh itu, persoalannya kini adakah bola sepak selepas ini akan terus digunakan sebagai ‘alat’ gimik untuk mempromosikan filem-filem keluaran Astro Shaw?
Adakah anda sebagai peminat bersetuju dengan perkara ini atau sebaliknya?