Manifesto PH-BN untuk Selangor FC, rasanya bola sepak tak perlukan campur tangan politik lagi

625

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa buah negeri tidak lama lagi memperlihatkan pelbagai manifesto yang diutarakan termasuklah bola sepak Selangor.

Dalam laman sosial Twitter, terdapat satu kongsian yang dimuat naik oleh sebuah akaun mengenai manifesto Parti Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor yang akan membantu misi skuad Selangor FC itu memenangi Sukan Malaysia (SUKMA), Piala Malaysia dan Liga Super menjelang 2025 serta Piala AFC pada 2027.


Hal ini mungkin sesuatu yang baik untuk bola sepak negeri Selangor sendiri apabila wujud beberapa organisasi yang bersetuju untuk menghulurkan tangan dalam merancakkan lagi industri bola sepak di negeri tersebut.

Bagaimanapun campur tangan politik dalam bola sepak atau mana-mana sukan adalah tidak patut kerana ia akan menyebabkan banyak perkara yang tidak diingini boleh berlaku dek campur tangan orang politik.

Peminat sukan tanah air semestinya sudah masak dan sedar perkara ini ibarat api pada awalnya dan tinggal asap pada hujungnya di mana selepas parti-parti ini memenangi pilihanraya sudah pasti banyak manisfesto-manifesto yang dilupakan terutama melibatkan sukan.

Hal ini bukanlah satu yang asing buat arena sukan negara apabila dijanjikan intan permata dan akhirnya masih lagi ditakuk yang sama dan masih tidak berubah daripada dahulu sehingga kini.

Jika hendak dibantu, ia boleh dilakukan sejak dahulu lagi baik daripada pihak pembangkang mahupun kerajaan dalam merencanakan pembangunan bola sepak yang lebih maju di setiap negeri dan tidak perlu menunggu pilihan raya.

Hal ini juga menyebabkan ramai peminat-peminat sukan bola sepak tanah air khususnya kurang mempercayai manifesto-manifesto yang diutarakan oleh parti politik disebabkan tidak banyak yang menunjukkan minat dan mempunyai ilmu yang sebetul-betulnya dalam sukan ini.

Seperti sebelum ini memetik sumber daripada Awani, Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh menjelaskan bahawa sukan perlu dijauhkan daripada kancah politik namun beliau juga tidak menolak jika seseorang tokoh politik itu sendiri memiliki dana atau kemampuan untuk memberi impak kepada pasukan.

Dengan Liga Malaysia kini sudah ke arah penswastaan, oleh itu tiada keperluan untuk mencampur adukkan bola sepak dengan politik kerana melihatkan pada sejarah, campur tangan politik dalam bola sepak jarang membawa kebaikan.

Oleh itu, biar urusan bola sepak di Selangor diuruskan sendiri oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Selangor FC.