Dakwaan fitnah: Rozaimi Rahamat tuntut permohonan maaf terbuka, wang ganti rugi daripada Zamsaham

223

Bekas pemain Kelantan FC, Rozaimi Rahamat mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kelab itu, Norizam Tukiman atau Zamsaham gara-gara kenyataan fitnah yang dikeluarkan ketika satu sesi bersama peminat Jun lalu.

Rozaimi melalui empat orang peguamnya iaitu Saipul Baharim Bin Abd Rahman, Khairul Asri Bin Ahmad, Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman dan Mu’az Al-Awwal Bin Mohamad Zafarullah mengadakan sidang media mengenai perkara itu sebentar tadi.


Menurut peguam yang mewakilinya, Rozaimi meminta dua penyelesaian, yang pertama berupa permohonan maaf secara terbuka dan bertulis, selain ganti rugi kewangan disebabkan kerosakan reputasi yang dialaminya.

“Anak guam kami menuntuk satu permohonan maaf terbuka dan bertulis untuk diterbitkan sekurang-kurangnya dalam dua akhbar utama Malaysia selama dua hari, dan ia perlu dilihat terlebih dahulu oleh pihak kami sebelum diterbitkan, dan permohonan bertulis ini juga hendaklah diterbitkan selama tujuh hari di platform media sosial Zamsaham dan Kelantan FC.

Kedua adalah dari segi ganti rugi kewangan disebabkan kerosakan reputasi dan bagaimana ia telah memberi kesan kepada karier anak guam kami,”

katanya.

Walaubagaimanapun, jumlah tuntutan kewangan tersebut enggan didedahkan buat masa ini kerana masih terdapat ruang untuk perbincangan sekiranya pihak Zamsaham mahu berbuat demikian.

Namun, menurut peguam Rozaimi, nilai tuntutan adalah disandarkan kepada klausa perlepasan pemain itu yang diletakkan oleh kelab dalam kontraknya yang bernilai RM1 juta.

Tambahnya, mereka memberi tempoh selama 14 hari untuk Zamsaham memberi respon kepada surat tuntutan itu dari tarikh ia dihantar iaitu 3 Ogos 2023.

“Kita sudah serahkan surat ini kepada Zamsaham dan kita beri masa selama 14 hari kepada beliau untuk memberi maklum balas.

Jika tiada apa-apa respon, kami telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.”

Peguam Rozaimi berkata, masih terdapat ruang untuk perbincangan mengenai jalan penyelesaian itu, tetapi ia bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh Zamsaham.

Katanya, tindakan itu diambil kerana Zamsaham telah memfitnah Rozaimi memboikot perlawanan Liga Super menentang Sabah FC pada April lalu, sedangkan usahawan itu yang mengarahkan Rozaimi untuk tidak terbang ke Sabah.

Jelas Rozaimi, tindakan undang-undang terpaksa dilakukan selepas usahanya menghubungi Zamsaham secara peribadi untuk mendapatkan permohonan maaf tidak dilayan.