Berhijab di bumi Kanggaru bukan alasan untuk Husnina Syahirah menjadikan bola sepak sebagai karier
Menjadi satu-satunya pemain berhijab yang bermain bola sepak dalam Liga Amatur Wanita di Australia, Nur Husnina Syahirah dilihat sebagai satu prospek yang menjanjikan untuk menyarung jersi Malayan Tigress pada suatu hari nanti.
Beliau yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia serta keluarga yang mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia pasti memudahkan sekiranya beliau ingin mewakili pasukan kebangsaan.
Syahirah yang masih berusia 17 tahun itu kini bermain untuk Albury United pernah mendapat perhatian daripada media Australia sendiri kerana ketekunan beliau bermain bola sepak dan tidak menjadikan pemakaian yang menutup aurat sebagai alasan.
Cabaran utama beliau jelas bukan sahaja bermain bola sepak sebagai seorang perempuan tetapi juga persepsi masyarakat setempat dengan gaya pemakaian beliau yang berlainan daripada kebiasaan pasti bukan mudah kerana dilihat berlainan.
Walau bagaimanapun, sokongan daripada rakan pasukan sendiri pasti akan menguatkan mental beliau sebagai pemain bola sepak wanita yang berhijab serta sebagai dorongan untuk terus maju.
Lagi pula, dengan minat yang mendalam akan permainan bola sepak sekiranya terus diberikan ruang dan peluang untuk mengasah bakat, pasti harapan untuk beliau bermain di pentas besar suatu hari nanti tidak mustahil.
Dengan usia yang masih muda, penggalaman pastinya menjadi aspek utama juga untuk menambah kualiti permainan beliau sebelum bergelar sebagai pemain profesional kelak.
Oleh itu, semangat Syahirah yang tinggi wajar dipuji dan dijadikan satu inspirasi buat pemain wanita lain sekiranya ingin berjaya dalam setiap sukan yang diceburi malah dengan bertudung bukan lagi alasan yang munasabah untuk meneruskan cita-cita.