Penggantungan Faisal Halim boleh jadi rintangan buat Harimau Malaya, kami akan cuba bantunya – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui penggantungan dalam liga yang dikenakan ke atas pemain sayap, Faisal Halim akan menjadi cabaran buat Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan pada September ini.
Namun, beliau dan barisan kejurulatihan negara bersedia untuk membantu pemain itu menyediakan kondisi yang terbaik untuknya bersama Malaysia.
“Isu ini (penggantungan Faisal Halim) boleh menjadi satu rintangan buat kami tetapi beliau sebelum ini bermain dalam semua perlawanan dan hanya akan terlepas beberapa perlawanan, jadi saya tidak rasa ia akan memberi kesan kepada prestasinya.
Di pihak kami pula, kami akan bertanya kepadanya bagaimana kami boleh membantu sebaik mungkin untuk menyediakan kondisi terbaik untuknya menjelang September nanti,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis undian Pestabola Merdeka 2023 yang menyaksikan Malaysia akan bertemu India pada perlawanan pertama, manakala satu lagi perlawanan bakal menemukan Palestin dan Lubnan.
Mengenai kejohanan itu, Pan-gon berkata bahawa ia akan menjadi medan yang baik untuk persiapan ke Piala Asia 2023 Januari tahun depan serta kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan bermula November ini.
“Bermula September ini kita akan menentang lawan-lawan yang lebih kuat termasuklah pada Pestabola Merdeka, ia adalah satu peluang yang baik untuk mempersiapkan diri menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 dan juga Piala Asia 2023.
Walaupun kita lawan pasukan yang lebih kuat, pada Pestabola Merdeka nanti kita akan bermain di home jadi kita harap sokongan padu daripada rakyat Malaysia supaya kita dapat melangkah ke perlawanan akhir dan bergelar juara.”
Tambahnya, beliau akan memanggil pemain yang dilihat terbaik pada kem latihan kebangsaan selepas ini, tetapi mungkin terpaksa melupakan beberapa pemain B-23 yang akan beraksi pada Piala AFF B-23 September ini.
Walaubagaimanapun, beliau berkata bahawa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman tetap akan dipanggil dalam skuad senior kerana beliau terlalu bagus untuk pasukan B-23.
Dalam pada itu, beliau percaya bahawa beberapa pemain import dapat membantu Harimau Malaya sekiranya dinaturalisasikan terutama dari segi fizikal dan di bahagian serangan.
Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada kejayaan mereka untuk melengkapkan proses naturalisasi, sekaligus dapat mewakili Harimau Malaya.