Pengaruh politik akan kekal dalam arena bola sepak selagi kelab masih harapkan dana daripada kerajaan negeri

1,106

Sejak penswataan semua kelab yang ingin bertanding dalam Liga Super Malaysia bermula tahun 2021, masih terdapat kelab-kelab yang tetap menjadikan kerajaan negeri sebagai sumber utama untuk menjana kewangan kelab.

Walaupun bukanlah secara terus daripada kerajaan negeri sendiri, banyak kelab yang menerima dana daripada anak syarikat kerajaan negeri.


Hal ini menunjukkan bahawa ketidakmampuan kelab untuk berdiri di atas kaki sendiri dalam mendapatkan dana yang mencukupi untuk terus bersaing sepanjang kempen Liga Super berlangsung.

Baru-baru ini juga pasukan Selangor FC antara yang menjadi sebutan kerana nama kelab gergasi itu terdapat di dalam sebuah manifiesto Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan kelab itu bakal menjadi juara Liga Super pada tahun 2025.

Menjawab mengenai perkara itu dalam satu sesi podcast, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan mengenai situasi kewangan pasukan itu.

Beliau mengakui bahawa kerajaan negeri Selangor memberi kepercayaan kepada pihak pengurusan Selangor FC dengan dana yang mampan setiap tahun.

Tambahnya, harus ada penaung yang membayar perbelanjaan pasukan, dan beliau berpendapat buat masa ini kerajaan negeri harus memberi bantuan kepada kelab.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat bahagian untuk anak syarikat milik kerajaan negeri sebagai pemegang saham kerana mahu memberikan nilai seperti adanya PKNS dan MBI.

Oleh itu semestinya sukar untuk menghapuskan elemen politik secara menyeluruh dalam arena sukan negara selagi kebergantungan kelab pada dana kerajaan negeri secara berterusan dalam jangka masa yang amat panjang.

Tambahan pula, bersaing dalam Liga Super memerlukan dana yang besar secara konsisten agar tidak mengganggu pihak pengurusan kelab dalam menjaga kebajikan para pemain juga penonton yang hadir untuk memberikan sokongan.

Kebanjiran orang politik yang memegang jawatan tertinggi dalam pengurusan bola sepak seperti Terengganu FC juga pasti akan menjejaskan haluan utama kelab bola sepak lebih-lebih lagi sekiranya berlakunya perubahan tampuk pemerintahan parti di sesuatu negeri.

Oleh itu, kelab bola sepak perlu mempunyai inisiatif jangka masa yang panjang dari aspek kewangan untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya akan dana dari Kerajaan Negeri untuk memudahkan kelab bergerak dengan identiti sendiri.