Pemain muda perlu fleksibel, cuba main pelbagai posisi – Thamil Arasu

244

Bekas penyerang berbisa negara satu masa dahulu, Thamil Arasu sarankan pemain muda tempatan untuk lebih fleksibel dalam melatih diri mereka supaya mahir dalam pelbagai posisi.

Thamil yang beraksi cemerlang bersama skuad Harimau Muda dahulu hilang daripada radar bola sepak tempatan namun baru-baru ini kelihatan beliau sudah mula kembali turun ke lapangan bukan lagi menjadi pemain akan tetapi sebagai jurulatih.


Beliau yang ditemui berkata kini bahagian serangan pasukan negara tidak lagi diterajui oleh penyerang-penyerang berbisa tempatan seperti zamannya dahulu dan menasihati pemain-pemain muda agar lebih berani untuk mula bermain di dua atau tiga posisi agar lebih banyak peluang untuk menyerlah.

“Saya sarankan pemain-pemain muda ini untuk cuba pelbagaikan posisi yang boleh dimainkan kerana ia akan memberi ruang dan peluang yang lebih banyak untuk bermain.”

katanya.

Selain itu beliau yang kini sudah berumur 32 tahun melihat posisi penyerang adalah bahagian yang paling kritikal jika dilihat dengan kurangnya pemain-pemain tempatan bermain sebagai penggempur hadapan yang mana telah diisi oleh pemain import dan naturalisasi.

“Kalau kita tengok sendiri pun dalam pasukan kebangsaan pemain-pemain kita adanya bermain di posisi sayap kanan dan kiri serta pertahanan, penyerang kita lihat import dan naturalisasi jadi perkara ini akan memberi kesan kepada pemain-pemain kita sendiri.”

Thamil yang dahulu bermain cemerlang bersama skuad kebangsaan sempat mengecapi kenangan manis ketika menyertai skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee pada tahun 2011 dalam menghadapi cabaran Sukan Sea di Indonesia dengan kejayaan membawa pulang pingat emas buat negara.

Pemain tegap asal Banting, Selangor itu juga sudah melengkapkan lesen D dalam kejurulatihan dan kini dimaklumkan sudah mendapat panggilan daripada buah pasukan daripada pelbagai peringkat umur bagi mendapatkan khidmat bantuannya.

Selain itu juga, Thamil sendiri melampirkan niatnya untuk mengumpulkan rakan-rakan bola sepaknya yang berada di sekitar Banting bagi mewujudkan satu akademi akar umbi bagi melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bola sepak.

“Sekarang ada pasukan luar yang panggil untuk bantu mereka yang sedang bersaing di liga FAS selain itu ada juga sekolah-sekolah yang panggil saya untuk bawa pemain-pemain bawah 10 dan 12 tahun mereka,”

“Saya ada pasang niat untuk panggil semua rakan-rakan saya dahulu yang tinggal di sekitar banting untuk bersama-sama membina satu akademi bagi anak-anak muda yang ingin bermain bola.”

Memandangkan tidak lama lagi skuad kebangsaan bakal melayari kejohanan Asia di Doha, Qatar pada awal tahun hadapan, Thamil tidak mahu melepaskan peluang untuk mengirimkan doa dan ucapan maju jaya buat skuad Harimau Malaya.