Saya tak suka bekerja dengan pemain yang tiada cita-cita – Nenad Bacina
Ketua jurulatih KL City FC, Nenad Bacina menegaskan bahawa tiada kesebelasan utama yang tetap dalam pasukannya dan semua pemain harus bersaing untuk mendapatkan tempat.
Katanya, beliau tidak gemar bekerja dengan pemain yang tidak mempunyai cita-cita, dan memuji sikap para pemainnya yang menunjukkan semangat untuk meningkatkan permainan.
“Saya kata kepada pemain tiada kesebelasan utama dalam pasukan ini, siapa yang memulakan perlawanan hari ini tidak semestinya akan memulakan perlawanan seterusnya.
Saya tak suka bekerja dengan pemain yang tiada cita-cita dan saya gembira pemain-pemain ini menunjukkan cita-cita untuk memperbaiki diri,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas kekalahan kepada Selangor FC pada saingan Liga Super sebentar tadi.
Katanya, menjelang penghujung musim ini, pasukannya akan cuba mendapatkan sebanyak mata yang boleh.
Dalam pada itu, Nenad Bacina akan terus memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk mengutip pengalaman sebanyak mungkin.
“Pemain-pemain muda kena merasai kesakitan dan tidak boleh duduk dalam zon selesa.
Kita sudah ke penghujung musim, sudah tentu kita akan berikan pemain-pemain muda minit permainan, mereka harus rasai tekanan seperti ini.”
Beliau berharap baki perlawanan musim ini akan menjadi sesuatu yang dapat beliau nikmati bersama pasukan.