Penjagaan makan dan nutrisi penting untuk pemain golf – Syakir Adli Azmi

121

Pemain golf muda kejohanan Toyota Corolla Cross Cup, Syakir Adli Azmi akui pemakanan dan pengambilan nutrisi seimbang memainkan peranan penting bagi seseorang pemain golf sepertinya.

Syakir yang kini berumur 25 tahun tidak berpuas hati dengan permainannya dalam kejohanan kali ini disebabkan keadaan tubuhnya yang tidak terlalu baik sehingga mengganggu rentak permainan dalam dua hari beliau bermain di Palm Garden Golf Club, Putrjaya.


“Permainan hari ini tidak berapa baik, jika dilihat pada lubang yang terakhir tadi saya agak tidak terkawal dan sejak awal tadi juga saya bermula agak lemah disebabkan bermula lewat dan kurang nutritisi,”

katanya.

Beliau yang mengakhiri di kedudukan ke-25 hari ini memberitahu bahawa kekurangan nutrisi di awal permainan hari ini menyebabkan pukulannya terlalu lemah dan terpaksa mengenakan makanan tambahan bagi mengembalikan tenaganya dengan segera bagi menghabiskan permainan.

“Mungkin disebabkan kekurangan nutrisi di awal itu yang membuatkan saya sedikit lemah namun selepas memulakan pukulan bagi lubang ke-10 saya bawa mentega kacang bersama untuk memberikan tenaga pantas dan seterusnya saya baik-baik Sahaja,”

“Apa yang perlu saya tambah baik adalah lebih kepada bahagian fizikal berbanding teknikal seperti kecergasan, pemakanan, nutrisi dan disiplin,”

Dengan keputusan yang tidak menggembirakan dalam dua hari ini, beliau akui sasaran untuk berada seeloknya di kelompok lima teratas bukan lagi sesuatu yang mudah untuk diraih memandangkan dalam papan markah bagi kejohanan ini memperlihatkan semua pemain teratas bermain dengan sangat baik.

Selain itu juga beliau memberitahu akan cuba untuk bermain dengan lebih agresif pada hari esok kerana untuk tempoh dua hari ini beliau dan ramai lagi pemain kelihatan bermain secara selamat untuk mengelak daripada kedudukan tercorot.

“Untuk kejohanan kali ni saya menjangkakan untuk berakhir di kedudukan lima teratas namun disebabkan beberapa kesilapan hari ini dan semalam mungkin agak sukar sedikit untuk capai kedudukan tersebut,”

“Saya akan lebih agresif kerana lapangan di sini walaupun agak pendek tetapi ia agak sempit jadi hari esok saya kena cuba untuk pukul terus ke green tetapi saya tahu ia agak berisiko namun itu yang perlu dicuba.”