Pelaksanaan FFP inisiatif terbaik untuk arena bola sepak Malaysia
Memandangkan kelab-kelab dalam liga bola sepak Malaysia yang masih terumbang-ambing dalam mengekalkan kestabilan pengurusan kewangan, pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) dilihat sebagai satu medium terbaik sebagai penyelesaian yang komprehensif.
FFP yang pernah dicadangkan oleh pemilik Johor Darul Takzim (JDT),Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu dilihat sebagai satu inisiatif yang positif untuk mengawal kelab-kelab di dalam liga daripada berbelanja pada jendela perpindahan melebihi daripada kemampuan sebenar kelab.
Langkah ini dilihat mampu mendisiplinkan pihak pengurusan kelab dalam melakukan sebarang perbelanjaan seperti pembelian pemain import dan juga menyelesaikan masalah gaji para pemain dan staf-staf daripada tertunggak amnya.
Sekiranya ingin terus memajukan liga menjadi kompetitif, masalah asas seperti gaji wajar dijadikan keutamaan untuk diselesaikan.
Tambahan pula, peraturan FFP ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia bola sepak tetapi telah diguna pakai oleh liga-liga di Eropah untuk menstabilkan kewangan setiap kelab yang bertanding agar tidak wujud lagi masalah pemain yang tidak dibayar gaji.
Walaupun pelaksanaan FFP ini dilihat bakal menguntungkan kelab-kelab elit tertentu sahaja kerana mempunyai kewangan yang kukuh serta bebas berbelanja besar tetapi dalam jangka masa yang panjang juga akan dapat menoktahkan masalah kelab kecil daripada kemelut kewangan yang berterusan.
Sekiranya tiada sistem yang dapat mengawal sesebuah kelab untuk berbelanja mengikut kemampuan masing-masing, maka senario kemelut gaji akan selamanya menjadi bahan bualan justeru mengganggu perkembangan liga untuk menjadi lebih kompetitif.
Inisiatif pelaksanaan FFP wajar dikaji oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menoktahkan masalah pengurusan kewangan kelab yang tidak cekap.