Golf bukan lagi sukan bangsawan, sudah tiba masa ia ‘dirakyatkan’ untuk lahirkan ramai pemain golf bertaraf antarabangsa

359

Sukan golf bukanlah sukan utama di Malaysia sekira hendak dibandingkan dengan sukan popular seperti bola sepak, badminton, berbasikal, hoki, futsal atau permotoran kerana sehingga kini golf masih distereotaip sebagai sukan elit untuk golongan bangsawan dan hanya melibatkan mereka yang berusia.

Tidak dinafikan sudah berdekad sukan golf ini sememangnya sukan bangsawan di seluruh dunia, namun perkara itu sudah pun berubah mengikut peredaran zaman namun di Malaysia stereotaip itu masih tebal dalam kalangan masyarakat negara.


Tanya sahaja sesiapa yang tidak mengenali dengan dekat sukan golf pastinya perkara pertama yang akan muncul dalam fikiran mereka adalah ia adalah sukan untuk orang kaya dan orang tua membuatkan mereka tidak berminat untuk ambil tahu apatah lagi mahu mencuba.

Betul kata pepatah, setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya dan itulah yang berlaku pada sukan golf ketika negara dilanda pandemik COVID-19 apabila memperlihatkan semakin ramai orang mula berjinak-jinak dengan sukan golf.

Antara faktor utama mereka mula bermain golf kerana ia merupakan antara sukan yang tidak perlu ramai pemain atau pasukan untuk dimainkan.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan membuatkan sukan-sukan popular seperti bola sepak, futsal atau sukan yang melibatkan pasukan tidak dibenarkan dek tiada penjarakkan fizikal.

Stereotaip terhadap sukan golf semakin terhakis hari demi hari tetapi ia masih belum cukup kerana kerana majoriti mereka yang bermain golf ketika ini tidak bermain secara kompetitif atau lebih dikenali sebagai ‘weekend golfer’ sahaja.

Boleh dikatakan Malaysia kini kekurangan pemain golf profesional berkualiti yang mampu bertanding di luar negara kerana antara faktor utama masalah pemain golf negara adalah kekurangan kejohanan membuatkan mereka bergelut untuk mengekalkan prestasi mereka.

Ketika ini Malaysia hanya mempunyai seorang pemain golf yang berjaya menembusi peringkat antarabangsa iaitu Gavin Green yang beraksi di jelajah Eropah iaitu di DP Tour World.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa majoriti pemain golf profesional negara tidak seperti pemain golf profesional di luar negara seperti PGA Tour, DP World Tour atau Asian Tour yang mana mereka hanya akan fokus untuk bermain sahaja berbanding majoriti pemain golf profesional di negara yang perlu mencari duit sendiri seperti menjadi jurulatih golf untuk menyara hidup.

Terpaksa melakukan beberapa kerja membuatkan kebanyakkan pemain golf profesional negara sukar untuk berada pada tahap terbaik kerana tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada permainan mereka.

Lebih menyedihkan baru-baru ini apabila Persatuan Golf Malaysia (MGA) mengumumkan bahawa mereka tidak akan menghantar pemain untuk beraksi di Sukan Asia Hangzhou pada bulan depan.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa pemilihan Sukan Asia yang telah menetapkan Malaysia hanya akan menghantar pemain yang berada di kedudukan lapan terbaik Asia.

Ia merupakan satu keputusan ‘backward’ kerana pemain golf profesional negara perlukan platform untuk beraksi di peringkat antarabangsa untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman kerana kedua-dua perkara ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Jika tidak mahu berkorban atau melabur bagaimana negara hendak melahirkan pemain golf bertaraf dunia?

Mengapa sukan seperti bola sepak, badminton, berbasikal dan beberapa lagi mendapat pelbagai akses berterusan seperti dana puluhan juta ringgit sedangkan sehingga kini masih belum mencapai sasaran tetapi untuk golf pula tak sanggup melabur.

Sudah tiba masanya pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) memberi perhatian kepada sukan golf pula dengan misi untuk merakyatkan sukan itu untuk menarik lebih ramai anak-anak muda untuk menceburi sukan golf.

Jika sukan-sukan lain boleh mempunyai program pembangunan akar umbi yang bagus, mengapa tiada program pembangunan seperti itu untuk sukan golf?

Pembangunan golf akar umbi tidak boleh hanya tertumpu pada sebilangan kecil yang mampu sahaja, sebaliknya ia perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat dan paling berkesan sekiranya setiap sekolah mempunyai kelab golf yang mana ia dapat memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi sukan golf terutamanya bagi anak-anak dari keluarga tidak berkemampuan.

Percayalah sekiranya ia berjaya dilaksanakan, kita dapat mengcungkil lebih bakat-bakat baru yang mempunyai potensi besar dan tidak mustahil satu hari nanti kita akan melahirkan pemain golf dunia yang mampu bersaing di kejohanan terbaik dunia.

Oleh itu, diharap sukan golf selepas ini akan mendapat perhatian KBS dan MSN untuk cuba mencari jalan untuk cuba merakyatkan sukan tersebut dan mungkin inisiatif Sukan Rahmah dapat diperluaskan kepada sukan golf untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses.