Sidang media ini platform untuk pemain menjual diri – Bang Joel
Bang Joel akui kemahiran bertutur dengan baik di hadapan kamera atau media menjadikan seseorang atlet e-sukan itu akan lebih berjaya memandangkan masih ramai di antara mereka kurang keyakinan apabila perlu berhadapan dengan kamera.
Beliau yang lebih dikenali di laman sosial Tiktok menyifatkan ada segelintir atlet e-sukan tempatan yang terlalu malu dan cuba untuk mengelak apabila ingin ditemubual sekaligus ini akan menutup peluang mereka menarik lebih penaja dan peminat yang mahu melihat mereka.
“Semua pemain perlu berlatih untuk bercakap dengan media, kerana saya lihat dalam senario e-sukan tempatan para pemain kita terlalu takut untuk bercakap dengan media terutama semasa sidang media,”
Sepatutnya semasa sidang media ini digunakan untuk kita menjual diri kerana semua jenama mahukan model atau individu yang boleh kedepan mengutarakan pendapat mereka dan mempunyai identiti tersendiri,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, dari sudut yang berbeza para pemain itu sendiri perlu tahu nilai mereka dan berani untuk komersialkan diri sendiri agar lebih ramai penaja-penaja luar yang lebih mengenali dan berani untuk memberikan sokongan baik untuk dirinya dan juga pasukan.
Selain itu juga, Bang Joel turut mendedahkan masalah utama apabila melibatkan komunikasi dalam kalangan atlet e-sukan tempatan adalah tidak mahir untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris apabila sertai kejohanan di peringkat antarabangsa dan hal ini merupakan satu perkara yang kritikal serta perlu diperbaiki secepat mungkin.
“Untuk saya salah satu kelemahan kita di peringkat antarabangsa adalah lemah dalam berbahasa Inggeris kerana mereka di peringkat tertinggi tak faham Bahasa Malaysia mereka menggunakan Bahasa Inggeris.
Kalau kita nak maju nak menjadi seorang yang berpengaruh kita kena belajar Bahasa Inggeris, sebagai contoh saya ambil Cristiano Ronaldo sebelum beliau datang ke Manchester United beliau hanya menggunakan Bahasa Portugis namun selepas itu belajar dan belajar akhirnya kini dia menjadi pemain ternama.”
Oleh yang demikian, permasalahan ini dapat dilihat apabila pemain-pemain e-sukan misalnya Mobile Legends Bang Bang (MLBB) bermain di peringkat antarabangsa, pasukan negara kita masih memerlukan penterjemah apabila ditemubual oleh hos.