Hampir atasi rekod LTK, Yusri Che Lah individu tepat untuk terus kendalikan Perak FC?

469

Prestasi Perak FC kini dilihat semakin baik dengan beberapa keputusan yang memberangsangkan dicatat dalam beberapa perlawanan terakhir.

Selepas menang 3-1 ke atas Kedah Darul Aman FC dalam saingan Piala Malaysia, anak-anak buah Yusri Che Lah meneruskan rentak cemerlang menundukkan Penang FC dengan jaringan sama dalam Liga Super.


Yusri kini telah membimbing pasukan itu dalam lapan perlawanan, tujuh perlawanan Liga Super, selepas dilantik sebagai ketua jurulatih sementara menggantikan Datuk Lim Teong Kim.

Di bawah Teong Kim, dalam saingan Liga Super, Perak mengharungi 12 perlawanan dan hanya mencatatkan dua kemenangan, seri tiga kali dan tewas tujuh kali, mengumpul sembilan mata.

Selepas Yusri menagmbil alih, dalam tujuh perlawanan Liga Super, beliau sudah berjaya membawa pasukan meraih tujuh mata, dengan dua kemenangan, satu seri dan empat tewas.

Dengan berbaki tujuh lagi perlawanan liga, adakah Yusri harus diberi kepercayaan untuk terus mengendalikan pasukan pada musim depan jika rekodnya lebih baik berbanding Teong Kim?

Berbanding Teong Kim yang datang dengan reputasi yang tinggi, dan diharapkan mampu membawa Perak kembali menjadi sebuah pasukan yang disegani, Yusri tidak diberi harapan sewaktu mengambil alih Perak.

Namun, beliau membuktikan bahawa dirinya boleh melakukan tugas itu, dan harus diakui bahawa permainan Perak kini berbeza dengan terdapat beberapa pemain yang sebelum ini kurang memuaskan seperti Wan Zack Haikal kini semakin baik.

Mungkin apa yang diperlukan oleh Yusri adalah masa untuk membina semula pasukan Perak yang dibarisi ramai pemain-pemain muda berbakat.