Bila agaknya tarikh laporan ‘post-mortem’ akan dibentang?
Selepas dikecam dan dihentam dari pelbagai arah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya telah menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang mana ia diketuai oleh Datuk Dell Akbar Khan.
Turut berada dalam badan bebas tersebut adalah Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Dato’ Alex Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Mohd Isa, bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam, bekas kapten pasukan negara, Shukor Adan dan Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O’Donell.
Walaupun ada peminat yang membidas FAM lambat menubuhkan Badan Siasatan Bebas ini, namun pujian harus diberikan juga kerana ada inisiatif untuk melakukan ‘post-mortem’ menyiasat laporan prestasi pasukan kebangsaan Malaysia di Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.
Badan bebas tersebut telah pun bersidang buat kali pertama pada Rabu (12 Januari) lalu dan ia dimaklumkan oleh FAM di laman sosial Facebook rasmi mereka.
Peminat nampaknya mempunyai pandangan masing-masing apabila majoritinya melontarkan pelbagai persoalan dan kenyataan mengenai kredibiliti laporan ‘post-mortem’ yang akan dibentangkan kelak.
Malah antara yang menjadi persoalan utama ketika ini adalah bilakah agaknya tarikh laporan itu akan lengkap dan dibentangkan? Sebulan? Dua bulan? Tiga bulan? Atau enam bulan?
FAM sepatutnya sudah meletakkan tempoh tertentu untuk badan bebas itu membuat ‘post-mortem’ supaya ia tidak memakan masa yang lama.
Salah seorang pengguna media sosial, Mathan Raj mendesak pihak bertanggungjawab berundur dan serahkan kepada mereka yang pakar dalam dunia bola sepak.
“Berundurlah semua. Bagi yang orang tahu pasal bola. Jangan hancurkan bola sepak kita lagi. Sayangilah bola sepak kita. Senangnya duit masuk. Taknak pula lepaskan jawatan ye?,” tulisnya.
Abdul Pazeli pula mendesak siasatan dilakukan dengan telus untuk mengesan bagaimanapun prestasi skuad negara boleh jatuh merudum secara tiba-tiba dan kenal pasti puncanya.
Malah Abdul turut memberikan cadangannya siapakah individu yang layak menerajui FAM dan kejurulatihan.
“Saya nak Presiden baru adalah Datuk Santokh Singh, Timbalan Presiden Dato’ Soh Chin Ann, Pengurus Pasukan Malaysia, Stanley Bernard, Jurulatih Malaysia Bojan Hodak.”
Selain itu, ramai peminat mendesak pengurusan tertinggi FAM terutamanya presiden Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin meletak jawatan dengan segera.
Pelbagai komen-komen negatif yang dilemparkan kepada FAM sejak skuad negara mempamerkan aksi yang cukup mengecewakan sepanjang kempen Piala AFF 2020 baru-baru ini.
Ada segelintir peminat yang mendesak supaya rombakan besar-besaran perlu dilakukan dalam FAM kerana orang atasan juga perlu bertanggungjawab dengan prestasi hambar pasukan Malaysia dan bukannya jurulatih Tan Cheng Hoe sahaja.
Rasanya peminat bola sepak tanah air sudah terlalu penat dan muak dengan sikap FAM yang sehingga kini masih berada di takuk lama sehinggakan ramai yang mendakwa ‘mereka-mereka’ ini bukannya sayangkan bola sepak negara, tetapi lebih sayangkan jawatan dan poket sendiri.
Biarpun ramai yang sudah menjangkakan laporan ‘post-mortem’ tidak akan memberi sebarang kesan kepada pengurusan FAM, namun peminat tetap mahu laporan itu siap dengan segera dan dibentangkan kepada umum.
Jadi, sama-sama kita tunggu bilakah laporan ‘post-mortem’ ini akan selesai dan dibentangkan serta tindakan susulan yang akan dilakukan.