Sasaran utama adalah menang tapi kalau tak ada rezeki sekurang-kurangnya naib juara – Daddyhood
Pemilik pasukan e-sukan Homebois, Daddyhood meletak sasaran untuk menjuarai saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) pada musim ke-12 ini selepas membuat beberapa perubahan ketara untuk memperkuatkan pasukan.
Menurut Daddyhood atau nama sebenarnya Nureddy Nursal, setiap musim beliau pastinya akan mempersiapkan pasukannya dengan rapi bagi memastikan mereka mampu mencapai sasaran untuk menjadi juara untuk pertama kali.
“Sasaran utama kita memang nak jadi juara kerana sesiapa sahaja yang buat pasukan pastinya nak jadi juara.
Oleh sebab itu saya setiap musim sasaran tetap sama iaitu mahu jadi juara, bagaimanapun jika tiada rezeki paling teruk pun saya nak naib juara kerana naib juara ada ‘wild card’ iaitu satu lagi talian hayat untuk kami bersaing ke world series,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, Daddyhood telah membawa masuk jurulatih baru iaitu Pabz (Khairul Azman) yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dan mampu membawa Homebois ke satu tahap lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau turut membuat kejutan ramai apabila berjaya menandatangani Xorn sebagai pemain baru yang mana ia merupakan pemain termahal pasukan itu ketika ini.
“Kenapa saya labur besar untuk Xorn sebab beliau merupakan kawan lama dan saya tahu kemampuannya yang mana beliau boleh membawa pasukan menjadi juara selain mampu cepat serasi dengan pemain lagi.
Kematangan yang ada pada diri beliau menjadi antara sebab utama saya bawa Xorn untuk bersama Homebois untuk musim ini.”
Tambahnya lagi, beliau mahu Xorn menamatkan kariernya sebagai seorang pemain lagenda dan menjadi juara.
Dalam pada itu, Daddyhood juga menjangkakan saingan MPL Malaysia pada musim ke-12 nanti akan menjadi lebih sengit dan kompetitif.
Beliau juga melihat pasukan Red Giants Esports yang baru musim kedua beraksi merupakan antara pasukan yang perlu diberi perhatian selepas mempamerkan aksi yang cemerlang sepanjang pra musim.
MPL Malaysia musim ke-12 akan menyaksikan sebanyak 10 pasukan akan bersaing seperti juara bertahan TODAK, Homebois, Team Secret, Team HAQ, Team Lunatix, RED Esports MY, Team SMG, RSG Slate MY, Red Giants Esports dan Madness Esports.