Dahulu bakat emas skuad negara, kini tiada dalam radar KPG untuk ke Piala Asia?

136

Beberapa pemain tempatan yang dahulunya mencipta nama bersama skuad kebangsaan kini jarang didengari dan tidak kelihatan dalam kancah Liga Super Malaysia disebabkan kurang mendapat minit permainan beraksi di atas padang.

Jika dilihat beberapa pemain antaranya, Syahmi Safari, Nazmi Faiz Mansor dan Azam Azih masing masing pernah mencipta nama baik bermain di luar negara ataupun menjadi waktak penting dalam skuad kebangsaan.


Namun nama-nama mereka agak kurang didengari dan kualiti permainan mereka menjadi tanda tanya disebabkan tidak lagi dipanggil oleh pengendali pasukan bola sepak negara Kim Pan-gon dalam tempoh beberapa bulan ini dalam persiapan menjelang Piala Asia 2023 tidak lama lagi.

Nazmi Faiz yang bermain di posisi tengah merupakan antara pemain yang mempunyai pengalaman bermain di luar negara setelah berjaya menjadi pemain Malaysia yang menembusi pasaran Eropah iaitu di Portugal bersama kelab S.C. Beira-Mar pada tahun 2012.

Hari tak selalunya indah, Nazmi terpaksa menamatkan kontraknya setelah enam bulan beraksi bersama Beira-Mar dan pulang semula ke tanah air disebabkan faktor dan masalah peribadi yang tidak diceritakan dan kini sedang beraksi bersama pasukan gergasi tanah air Johor Darul Ta’zim.

Kali terakhir beliau dipanggil untuk mengisi barisan skuad kebangsaan adalah pada tahun lalu sewaktu Malaysia tumpas kepada Tajikistan dalam perlawanan akhir Kejohanan King Cup.

Selain itu, rakan sepasukan Nazmi di JDT iaitu Syahmi Safari juga merupakan pemain muda yang seharusnya menjadi prospek terbaik di barisan pertahanan negara namun kini kerap diletakkan di bangku simpanan.

Syahmi yang berhijrah dari Selangor FC ke JDT tahun lalu, mengikut rekod musim ini baru bermain 141 minit bersama skuad Harimau Selatan itu memandangkan beliau terpaksa berebut tempat bersama pertahanan kanan utama JDT iaitu Matthew Davies.

Hal ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi peluang bermain beliau memandangkan Matthew Davies menampilkan prestasi yang baik musim ini selain semakin ramai pemain pertahanan kanan antaranya Quentin Cheng yang kini bermain di Selangor, Azam Azmi Murad di Terengganu FC dan Dion Cools yang menyukarkan laluan Syahmi untuk dipanggil ke skuad kebangsaan.

Seorang lagi pemain yang dahulunya ura-ura bakal menjadi “the next Safiq Rahim kini jarang dipanggil ke skuad kebangsaan meskipun menjadi tonggak utama pengemudi bahagian tengah skuad tok gajah iaitu Azam Azih.

Azam yang dahulu terkenal dengan hantaran jarak jauh yang tepat semestinya menjadi pilihan peminat untuk meletakkan beliau di bahagian tengah skuad kebangsaan namun prestasi yang tidak menentu menyebabkan beliau kini seolah-olah tidak lagi dalam pemerhatian KPG.

Pemain-pemain sebegini seharusnya membuka mata dan sedar akan prestasi sebenar mereka dan tidak duduk ditakuk yang sama.

Seperti yang dilakukan oleh beberapa pemain antaranya Daniel Ting yang kini berumur 31 tahun pertama kali mendapat panggilan ke skuad kebangsaan pada awal tahun lalu bagi perlawanan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Daniel mula bermain dengan pasukan JDT II pada tahun 2017/18 namun tidak mempunyai banyak minit permainan dan berhijrah ke KL City FC bagi musim 20/21 dan seterusnya ke Sabah FC yang dikatakan musim terbaiknya kerana mendapat panggilan oleh KPG bagi keempat-empat perlawanan kebangsaan tahun ini.

Hal ini memperlihatkan bahawa pemain-pemain perlu lebih memahami kemahuan dan kehendak diri sendiri dalam memastikan karier bola sepak mereka tidak terhenti begitu sahaja.

Umur bukan penghalang bagi seseorang pemain untuk kembali menyarung jersi kebangsaan antara langkah yang boleh dilakukan adalah seperti yang dilakukan Daniel Ting iaitu berkelana ke kelab lain untuk mendapatkan pendedahan dan peluang bermain yang lebih banyak untuk menunjukkan kebolehan sebenar mereka.