TMJ ulas ringkas isu perpindahan Jordi Amat ke Turki
Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim, Jordi Amat dikhabarkan bakal terbang ke Turki minggu hadapan untuk menandatangani kontraknya bersama kelab Trabzonspor namun perkara ini dibidas terus oleh pemilik pasukan gergasi selatan tersebut.
Menjelang kemuncak kejuaraan ke-10 Liga Super Malaysia buat JDT, ura-ura pemergian tonggak pertahanan utama mereka itu bukan sesuatu yang membimbangkan memandangkan masih ramai pemain-pemain pertahanan yang berkualiti untuk diisi ke dalam tempat yang ditinggalkan namun Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam satu kongsian di laman sosial Instagram MalaysiaFootballLeague mengulas ringkas menandakan perpindahan tersebut tidak berlaku.
Jordi yang telah bermain 19 daripada 20 perlawanan Liga Super bersama JDT sememangnya menunjukkan kelasnya yang tersendiri selepas barisan pertahanan skuad Harimau Selatan kebal daripada serangan pasukan lawan dan hanya dibolosi sebanyak empat gol sahaja sepanjang musim ini.
Perpindahan pemain naturalisasi Indonesia itu sebelum ini kononnya telah disahkan oleh sebuah media di Turki iaitu Turkiyegazetasi yang memaklumkan segala perbincangan berkenaan perpindahan pemain berusia 31 tahun itu sudah selesai dan sedang menunggu kehadiran Jordi ke Turki pada minggu hadapan untuk menandatangani kontrak.
Hal ini mungkin boleh menutup segala spekulasi berkenaan Leandro Velazquez yang sebelum ini dikatakan bakal dinaturalisasikan disebabkan oleh skuad JDT yang kini sudah memiliki 10 orang pemain import dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setiap pasukan maksimum pemain import yang dibenarkan adalah sembilan orang sahaja.
Jadi dengan pemergian Jordi ke Turki ini boleh dikatakan Leandro kekal sebagai pemain import JDT yang sah dan mereka mengekalkan jumlah sembilan orang pemain import dalam pasukan mereka.
Jika perkara ini benar sekalipun, Esteban Solari sudah pasti sudah mempersiapkan segala idea dan taktikal baharu yang diperlukan bagi memilih individu yang tepat untuk menggantikan tonggak pertahanan utama merangkap kapten pasukan tersebut.
Antara pemain yang boleh mengantikkan Jordi adalah tidak lain dan tidak bukan Shahrul Saad yang mempunyai rekod baik ketika beraksi bersama skuad JDT dan pasukan kebangsaan.
Untuk rekod, sepanjang Liga Super Malaysia berlangsung Shahrul sehingga kini baru bermain sebanyak tujuh perlawanan dan setiap perlawanan yang diturunkan beliau berjaya menghalang setiap serangan pasukan lawan dan tiada jaringan yang dapat melepasi gawang gol JDT.
Bahang AFC Champions League pastinya terasa terutama buat peminat pasukan JDT yang tidak sabar untuk mengetahui undian peringkat kumpulan yang akan berentap dengan gergasi selatan itu.
Undian bakal dibuat selepas tamat pusingan Play-off iaitu 24 Ogos ini dan perlawanan pertama bakal dimainkan bermula 18-20 September hadapan.