Slot Piala AFC dalam rebutan, 3 kelab gergasi tanah air perlu lebih fokus!

124

Liga Super Malaysia sudah berbaki kurang daripada tujuh perlawanan lagi untuk beberapa pasukan yang kini sedang mengejar kedudukan tangga kedua liga sekaligus cuba untuk mendapatkan slot ke Piala AFC musim hadapan.

Johor Darul Ta’zim yang gah di puncak liga ibarat raja yang tidak boleh disentuh setelah memenangi kesemua 20 perlawanan yang dimainkan dan hanya dibolosi dengan empat gol sahaja selain mengesahkan slot mereka ke AFC Champions League sekali lagi.


Namun kini mata para peminat bola sepak tempatan semestinya tertumpu untuk meneka pasukan mana yang bakal mengakhiri kempen Liga Super Malaysia musim ini di tangga kedua yang mana rata-rata calonnya merupakan pasukan yang boleh dikatakan gergasi.

Antara pasukan yang kini sedang berada di tangga kedua adalah Selangor FC dengan 43 mata diraih sepanjang 20 perlawanan dimainkan dan jika ingin terus kekal sebagai pemegang slot Piala AFC mereka perlu kekal rekod kemenangan serta menyapu bersih 18 mata dalam enam perlawanan berbaki sekaligus menyaksikan mereka mengakhiri liga dengan 61 mata.

Selain itu, pasukan yang kini menduduki kedudukan ketiga liga iaitu Kedah Darul Aman FC merupakan pencabar terdekat Selangor FC memandangkan mereka masih berbaki tujuh perlawanan untuk dimainkan.

Sang Kenari juga berpeluang memintas kedudukan The Red Giants dengan membenam pasukan tersebut dalam perlawanan kedua terakhir mereka di Stadium Darul Aman serta menyapu bersih 21 mata dan meraih 61 mata di penghujung saingan.

Satu lagi pasukan yang boleh menyelinap secara senyap bagi merampas slot Piala AFC musim ini adalah Sabah FC yang berada di tangga empat liga buat masa ini dengan pungutan 39 mata selepas 21 permainan dimainkan.

Skuad di bawah bayu yang beraksi cemerlang dalam tempoh beberapa permainan sebelum ini juga menunjukkan semangat untuk mengejar kedudukan kedua liga namun anak didik Datuk Ong Kim Swee perlu berusaha keras apabila bakal bertemu gergasi pantai timur Terengganu FC dan juga Kedah sebelum menamatkan kempen musim ini.

Sri Pahang FC yang meraih 37 mata dalam 19 perlawanan dimainkan membuatkan mereka tidak mustahil untuk mengejar kedudukan kedua liga namun hasrat mereka untuk bermain di Piala AFC harus dilupakan dek kerana tiada permohonan lesen AFC yang dibuat oleh pasukan tersebut.

Gergasi pantai timur untuk pada tahun 2017 pernah menolak untuk ke kejohanan Piala AFC dan tindakan denda dikenakan oleh badan organisasi bola sepak Asia itu dengan menyekat permohonan lesen bagi tempoh dua tahun kepada Sri Pahang untuk mengelakkan mereka daripada menyertai sebarang kejohanan di bawah kelolaan mereka.

Namun kesemua ini bergantung kepada aksi permainan ketiga-tiga pasukan dalam melayari perlawanan-perlawanan penghujung musim ini.

Kelab-kelab ini masing-masing mempunyai rentak serta strategi yang berbeza dan sudah pasti jurulatih sudah membuat kira-kira terlebih dahulu bagi menetapkan hala tuju pasukan mereka.

Liga Super Malaysia yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi bakal disambung dengan pelbagai lagi aksi menarik bola sepak tempatan antaranya Piala Malaysia, Piala AFC yang disertai oleh Sabah dan Terengganu dan juga ACL yang diterajui satu-satunya wakil negara iaitu JDT.