Adakah musim hadapan bakal menjadi tahun terakhir JDT dominasi Liga Super?

435

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini meletakkan kelab Selangor FC dalam tawaran manifesto mereka untuk menjadi juara Liga Super pada tahun 2025 serta Piala AFC pada tahun 2027.

Maka, adakah saingan Liga Super musim hadapan bakal menjadi tahun terakhir bagi pasukan gergasi iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjuarai Liga Super ?


Ia akan memecahkan rekod dominasi pasukan daripada Selatan tanah air itu yang berjaya menjadi juara liga selama sembilan tahun berturut-turut, dan hampir pasti dinobatkan sebagai juara buat kali kesepuluh berturut-turut pada perlawanan seterusnya.

Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memberikan tawaran yang besar buat penduduk di Lembah Klang untuk melihat pasukan kesayangan mereka itu untuk menjuarai liga setelah sekian lama hanya berputih mata sahaja, kali terakhir menjadi juara pada tahun 2010.

Malah sudah tiba waktunya untuk angan-angan tersebut dijadikan kenyataan kerana partinya kini telah berjaya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tempoh hari.

Pasti, langkah-langkah yang strategik sudah diambil untuk membawa perubahan yang drastik untuk pasukan The Red Giants nanti.

Bukan mudah untuk menghentikan dominasi yang sedang dibina oleh JDT, jika tiada usaha dari sekarang untuk merealisasikan manifesto berkenaan, maka ia akan menjadi satu lagi janji palsu daripada ahli politik.

Ditambah pula dengan stadium baharu untuk pasukan merah kuning itu yang akan mula dibina bermula penghujung tahun ini serta dijangkakan siap pada tahun 2026 nanti dengan nama Kompleks Sukan Shah Alam.

Beliau sebelum ini menjelaskan perkara tersebut di dalam Tawaran Kita Selangor : 5 Tekad Untuk 5 Tahun Selangor di mana telah meletakkan sasaran tiga serangkai buat pasukan Selangor yang akan menjadi Juara Liga Malaysia, Sukan Malaysia (SUKMA), Liga Super (2025) dan Piala AFC (2027).

Walaupun dianggap sebagai sasaran yang tinggi, tetapi jika dengan pengurusan yang baik serta pemain yang berkualiti, pasti Selangor dapat mencapai sasaran tersebut justeru merancakkan lagi saingan Liga Super pada masa akan datang.