Sasaran ke final adalah sebab saya yakin dengan pemain-pemain ini – Datuk Seri Shahril Mokhtar
Pengurus pasukan B-23 tahun negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan bahawa sasaran ke final Kejuaraan Piala AFF B-23 tahun ekali ini adalah berdasarkan pemerhatian dan penelitian sejak awal pemilihan para pemain lagi.
Shahril yang ditemubual berkata demikian susulan ramai yang menganggap sasaran skuad B-23 untuk mara ke final kejohanan tersebut agak sukar memandangkan kebolehan pasukan-pasukan negara serantau seperti Indonesia yang baru memenangi Sukan Sea, Thailand dan juga Vietnam.
Bagi Shahril sendiri, semua keputusan yang dibuat adalah berdasarkan penelitian awal memandangkan para pemain yang dipanggil sudah mencapai keserasian selain telah bermain bersama sejak mereka berada di skuad kebangsaan B-19 tahun.
“Sasaran ini sudah tentu akan membakar semangat mereka tetapi keputusan untuk menetapkan sasaran ke final adalah selepas saya amati dan analisis bahawa pemain-pemain ini sudah bersama sejak mereka bermain B-19 tahun dan 80% daripada pemain dalam pasukan ini kita dah kumpul mereka sejak kali pertama latihan berpusat dijalankan dan mereka juga main Sukan Sea bersama,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain itu memandangkan sebelum ini ada media yang menyatakan skuad Indonesia tidak meletakkan sebarang sasaran bagi kejohanan AFF kali ini disebabkan kebanyakkan tonggak mereka tidak dilepaskan namun untuk Shahril ini adalah sekadar permainan psikologi yang dimainkan oleh juara Sukan Sea Kemboja itu.
“Ini adalah permainan psikologi, sudah tentu Indonesia mempunyai sasaran mereka kerana mereka merupakan juara di Sukan Sea baru-baru ini dan saya yakin serta pasti mereka ada sasaran tersendiri,”
Selepas diangkat menjadi pengurus skuad B-23 negara, Shahril turut mengulas ringkas sikap positif yang ditonjolkan jurulatih skuad B-23 negara iaitu E. Elavarasan, beliau memuji sikap jurulatih itu yang sedar dengan kesilapan dan kepincangan skuadnya dan bersedia untuk bertanggungjawab dalam memperbetulkannya.
“Yang baiknya saya lihat selepas dilantik menjadi pengurus pasukan ini adalah barisan kejurulatihan yang diketuai oleh jurulatih Elavarasan sedar apa yang sudah terjadi dalam Sukan Sea yang lalu jadi kalau barisan kejurulatihan itu sendiri memahami dan menyedari apa kesilapan dan ingin membaiki itu adalah sikap yang saya hormati.”