Nooa Laine di landasan tepat untuk perkuatkan jentera tengah Harimau Malaya

325

Pemain warisan skuad Harimau Malaya iaitu Nooa Hamzah Laine terus membuktikan bahawa dirinya sebagai seorang pemain yang berada di dalam kualiti tersendiri dan perlu diberikan perhatian selepas berjaya meledak bersama pasukannya SJK Seinajoki di Liga Utama Finland.

Perancang tengah berusia 20 tahun itu sebelum ini berjaya menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan Kim Pan-gon dan telah berjaya membuat debut pertamanya bersama pasukan negara pada perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan pada Mac lalu.


Nooa Laine merupakan antara tonggak utama buat kelabnya kini yang sedang berada di tangga ketiga dalam liga serta telah mencatatkan rekod beraksi sebanyak 17 permainan dari 19 perlawanan secara keseluruhan pada musim ini.

Prestasi cemerlang di liga divisyen satu itu jelas membuktikan bahawa beliau merupakan antara pemain yang wajar dijadikan sandaran dan mempunyai potensi untuk terus menyerlah sekiranya terus konsisten.

Di usia yang masih muda serta sedang bermain di dalam liga yang lebih kompetitif pasti penggalaman tersebut dapat digunakan sebaiknya jika beliau mendapat panggilan daripada skuad negara di masa akan datang untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Tambahan pula, dengan kelayakan saingan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan membuka tirai pada bulan November nanti semestinya nama beliau bakal menjadi sebutan Kim Pan-gon sebagai antara pilihan untuk mengendalikan jentera tengah pasukan Harimau Malaya.

Bukan sahaja untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, khidmat beliau juga pastinya ditagih untuk kejohanan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Januari 2024 nanti.

Diharap beliau dapat terus mengekalkan momentum kecemerlangannya bagi memastikan beliau berada pada tahap terbaik sekiranya dipanggil untuk tugasan negara.