Thai League 2 lebih kompetitif dari Liga Super Malaysia?
Sebelum ini ada yang mengatakan bahawa kualiti Liga Super Malaysia hampir setanding dengan liga di negara jiran iaitu Thai League 1, namun ia sebenarnya tidak kerana saingan liga tempatan jauh ketinggalan.
Malah Thai League 2 lebih berkualiti atau kompetitif jika hendak dibandingkan dengan Liga Super Malaysia.
Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana berdasarkan laporan suku ketiga 2023 dari TeamForm.com menyaksikan Liga Super Malaysia berada di kedudukan ke-39 Asia, naik satu tangga dari sebelum ini yang berada di kedudukan ke-40.
Manakala Thai League 2 pula berada di kedudukan ke-32 dan Thai League 1 jauh di hadapan dengan berada di kedudukan ke-17.
Bukan sahaja ketinggalan kepada Thailand, Liga Super Malaysia turut berada di belakang liga beberapa negara jiran lain seperti Liga 1 Indonesia (ke-37) dan V. League (ke-35).
Walaupun ada segelintir pihak yang merasakan liga tanah air lebih berkualiti dek mempunyai ramai pemain-pemain bintang bergaji lumayan, namun realitinya jurang kualiti di antara saingan liga tempatan dengan liga-liga di negara jiran jauh berbeza.

Sudah tiba masanya untuk pemain-pemain tempatan terutamanya pemain kebangsaan untuk cuba berhijrah ke liga di negara jiran untuk keluar dari zon selesa untuk mencabar diri bermain di liga di luar negara.
Ia bukan sahaja akan memanfaatkan diri sendiri iaitu dapat tingkatkan kualiti permainan dan pengalaman, tetapi juga dapat bantu pasukan kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa.
Pengelola liga Malaysian Football League (MFL) dan pemegang taruh perlu mencari jalan untuk menaikkan kualiti Liga Super Malaysia supaya kelab-kelab tempatan mampu beri saingan apabila beraksi di pentas antarabangsa seperti di AFC Champions League (ACL) dan Piala Asia supaya tidak hanya bergelar jaguh kampung sahaja.