Adakah Leandro Valazquez bakal menjadi pemain naturalisasi JDT yang seterusnya?
Berikutan kemasukan pemain terbaharu kelab Johor Darul Takzim (JDT), Takahiro Kunimoto dari kelab gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai, kini mereka memiliki 10 pemain import dan melebihi kuota dari jumlah yang ditetapkan sebelum ini iaitu sembilan pemain asing sahaja.
Selepas pemilik kelab Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris mengesahkan tiada pemain yang akan berpindah keluar dari kelab itu termasuk Leandro Valazquez dan Jordi Amat yang sebelum ini dikhabarkan sedang dipikat oleh sebuah kelab dari Liga Turkiye.
Oleh itu, nasib salah seorang daripada pemain itu terus menjadi tanda tanya dalam kalangan para peminat kerana kuota Liga Malaysia yang hanya membenarkan sembilan orang pemain asing sahaja untuk berada di dalam sesebuah kelab.
Maka adakah bakal ada kemungkinan bahawa Leandro Valazquez bakal dijadikan sebagai pemain naturalisasi ekoran hanya pemain itu sahaja yang sudah mencukupi tempoh lima tahun berturut-turut bermain dalam Liga Malaysia sekiranya ingin dijadikan sebagai calon naturalisasi yang baru.
Kualiti yang ada pada pemain yang berusia 34 tahun itu juga dijangkakan bakal menjadi taruhan kelab tersebut untuk bersaing di kejohanan AFC Champions League (ACL) yang akan bermula pada September nanti.
Dalam pada itu, sekiranya pemain dari Argentina itu menjadi pemain naturalisasi, semestinya kelincahan dan kelebihan yang ada pada beliau dapat digunakan serta bakal ditagih oleh skuad kebangsaan untuk membantu jentera di bahagian serangan.
Dengan adanya lebih ramai pemain yang berkualiti dalam skuad negara pasti akan dapat menguatkan lagi pasukan kebangsaan yang akan menghadapi kejohanan terbesar di rantau Asia iaitu Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024.