Mohd Haikal sasar kedudukan tiga teratas kejohanan eFootball dunia
Pemain e-sukan negara, Mohd Haikal Noh bertekad mahu menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas dalam kejohanan eFootball peringkat dunia yang akan bermula hujung Ogos ini di Romania.
Katanya, beliau mahu membuktikan bahawa Malaysia juga mempunyai pemain eFootball yang hebat dan percaya mampu memperbaiki kedudukannya di tempat ke-32 keseluruhan pada tahun lalu.
“Ini merupakan kejohanan dunia kedua saya, saya mahu buktikan bahawa Malaysia juga mempunyai pemain yang hebat kerana sebelum ini Indonesia juga pernah menjadi juara kalahkan negara besar seperti Brazil dan Sepanyol.
Bagi saya peluang adalah 50-50, dengan eFootball 2024 yang baru dilancarkan ini saya sasarkan untuk menempatkan diri di kedudukan tiga teratas,”
katanya.
Jelasnya, beliau sudah melakukan persiapan selama setengah tahun bagi menghadapi kejohanan tersebut, dan memperbaiki kelemahan daripada kejohanan terdahulu.
Dalam pada itu, beliau melihat permainan eFootball semakin berkembang di Malaysia dengan semakin ramai yang menyertai komuniti tersebut.
“Apabila pihak Konami yang datang sendiri ke Malaysia untuk lancarkan permainan eFootball di sini, saya lihat ia adalah satu petanda yang baik.
Saya harap selepas ini pihak Konami dapat masukkan saingan Liga Malaysia dalam permainan eFootball ini.”