Shahril Saa’ri: Ramai lagi pemain yang layak jadi kapten KDA FC
Selepas kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar berhijrah ke Sabah FC, peminat kini tertanya-tanya siapakah yang bakal memakai lilitan kapten untuk musim 2022.
Antara nama yang disebut bakal menggalas tanggungjawab itu adalah penjaga gol Shahril Saa’ri berikutan prestasi cemerlangnya sepanjang musim lalu.
Shahril bagaimanapun berkata beliau tidak pernah memikirkan soal itu sebaliknya menyerahkannya kepada ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak untuk menentukan dan merasakan ia sepatutnya diberikan kepada anak jati Kedah.
“Masih ramai lagi pemain Kedah (anak jati) yang layak untuk menjadi ketua pasukan yang baru,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Sebelum ini, Syazwan Zainon turut menyuarakan pendapat yang sama dengan berkata sudah tiba masanya untuk beri kepercayaan kepada pemain muda menjadi kapten pasukan.
Shahril turut meluahkan rasa sedihnya apabila mendapat tahu dua sahabat baiknya iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali berhijrah ke Sabah FC.
“Saya agak sedih juga sebab Baddrol dan Rizal antara sahabat baik saya dan rakan sepasukan. Tapi walau apa pun kami semua terpaksa menerima dan kami perlu bekerja keras untuk mengekal dan menambah baik apa yang Baddrol dan Rizal tinggalkan.”
Dalam pada itu, Shahril yang baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan bersama Kedah untuk semusim lagi berkata fokusnya kini adalah untuk mempertingkatkan tahap permainannya berikutan pasukan Hijau Kuning akan bermain di Piala AFC musim ini.
“Saya sendiri perlu lebih konsisten setiap perlawanan yang saya main. InsyaAllah dengan jurulatih dan pemain yang ada ketika ini saya yakin pasukan Kedah paling kurang mampu lepas peringkat kumpulan AFC kali ini.”
Tambahnya lagi, dengan gabungan pemain lama dan baru pada musim ini Shahril menyasarkan Kedah mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala.
Terdahulu Shahril mendedahkan beliau ada menerima tawaran dari beberapa pasukan lain selepas tamat musim lalu, tetapi terpaksa menolak secara baik kerana mahu kekal di Darul Aman.