Kijang Putera FC yakin mampu julang Peace Cup di China!

1,159

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa ketika ini kelab bola sepak remaja dari Malaysia iaitu Kijang Putera FC kini sedang berentap di Kejohanan Jemputan Peace Cup di Shenyang, China.

Kejohanan yang sudah berlangsung sejak 12 Ogos lalu telah menyaksikan pasukan Kijang Putera telah berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir esok (Khamis) bagi merebut gelaran juara.


Menurut Presiden Kijang Putera FC iaitu Sanusi Bin Osman, pasukannya bersaing dalam kategori B-16 yang mana turut disertai oleh 13 pasukan lain dari pelbagai negara.

“Kami sudah lama hari berkampung di Shenyang ini dan telah mengharungi perlawanan peringkat kumpulan sehingga kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir yang akan berlangsung pada esok hari.

Antara negara yang menghantar pasukan adalah China, Serbia, Rusia, Mongolia dan banyak lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sementara itu, ketua jurulatih Mohd Hanafiah Awang pula memberitahu perbezaan saiz fizikal tidak akan menjadi masalah buat pemainnya kerana beliau sudah mempunyai perancangan ampuh.

“Apa yang mengharukan saya adalah komitmen pemain-pemain yang cukup tinggi untuk bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa ini kerana ini adalah pendedahan di peringkat antarabangsa pertama dan mereka telah buktikan bahawa saiz fizikal tidak menghalang untuk mereka berjaya.

Untuk perlawanan akhir esok, saya jangkakan satu perlawanan yang cukup sengit kerana kami difahamkan pasukan yang akan menentang kami adalah skuad yang sedang dipersiap untuk ke Sukan Olimpik dimana saya sempat tinjau pemain-pemain mereka lebih besar dan tegap.

Namun kita ada strategi khusus untuk menangani masalah ini dan saya berkeyakinan kita mampu menjadi juara pada edisi kesembilan ini.”

Dalam pada itu, Sanusi turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang telah membantu mereka dari pelbagai aspek dalam memastikan mereka dapat menyertai kejohanan itu.

Untuk makluman, Kijang Putera adalah sebuah kelab bola sepak yang berpengkalan di Kelantan.