Kelantan FC sudah buntu, terpaksa iklankan jawatan kosong di Jobstreet

111

Buat sesiapa yang mempunyai pengalaman bekerja sebagai junior eksekutif dengan tempoh minimum dua tahun, anda mungkin calon yang sesuai untuk memohon jawatan pengarah teknikal di pasukan Kelantan FC.

Baru-baru ini dalam sebuah aplikasi cari kerja Jobstreets, terdapat satu iklan yang dihebahkan untuk mencari mereka yang mempunyai pengalaman untuk bertugas sebagai pengarah teknikal di Team Red Warriors Sdn. Bhd.


Jika betul perkara ini berlaku ia adalah satu perkara yang agak merisaukan buat pasukan gergasi Pantai timur tersebut yang mana sejak awal musim lagi mereka sudah berkali-kali bertukar pemegang jawatan Pengarah Teknikal ini.

Bermula dengan Rezal Zambery yang meninggalkan skuad tersebut selepas pelbagai isu yang bergolak melibatkan gaji dan juga masalah dalaman kemudian diikuti pula seorang lagi bekas jurulatih import iaitu Frank Bernhardt yang pernah menyandang jawatan itu juga.

Hal ini memperlihatkan bahawa pengarah teknikal di Kelantan FC adalah posisi yang sangat kritikal mungkin disebabkan kurangnya mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan oleh pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zam Saham.

Zam Saham sebelum ini terkenal dengan cara pengurusan kelabnya menggunakan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) terutama dalam menguruskan perbelanjaan dan pembayaran gaji kepada pemain serta staf.

Sudah ramai yang mengkritik corak pengurusan pemilik perniagaan hotel tersebut kerana dilihat tidak sesuai digunakan dalam sukan bola sepak dan akhirnya ramai pemain dan barisan kejurulatihan yang beredar daripada skuad TRW itu musim ini disebabkan gaji yang tertunggak dan pengurusan kelab yang tidak profesional.

Dalam iklan yang diwar-warkan, terpampang jelas skop kerja yang perlu dilakukan bagi pengarah teknikal kelab tersebut antaranya adalah dengan menubuhkan akademi untuk membangunkan pemain-pemain muda selain memaksimumkan pendapatan tahunan kelab bola sepak itu.

Selain itu juga gaji yang ditawarkan turut menarik perhatian para netizen di laman sosial yang tidak bersetuju dengan RM 2500 hingga RM 3000 sebulan tambah pula bebanan kerja yang dinyatakan dalam iklan jawatan kosong adalah sangat tidak berbaloi.

Jika dilihat rata-rata pengarah teknikal dalam sesebuah kelab di Malaysia sememangnya memilik jumlah gaji yang tinggi memandangkan tugas yang perlu mereka lalukan juga adalah berat dan meliputi pelbagai aspek dalam pengurusan kelab tersebut.

Kelantan FC sehingga kini masih mempunyai pergelutan untuk membawa masuk pemain-pemain import barunya disebabkan terkait dengan isu yang melibatkan Kesatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan diharapkan dalam masa terdekat Zam Saham dan pasukannya dapat menyelesaikan segala permasalahan dalaman yang menganggu perkembangan kelab tersebut.