Saya biasakan diri untuk berjemur di bawah panas untuk biasakan diri dengan cuaca di Kazakhstan – Dayang Ferazlyn

145

Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa yang berlangsung di Kazakhstan tempoh hari telah menutup tirainya dengan atlet Malaysia iaitu Dayang Ferazlyn berjaya menyumbangkan dua pingat emas dan satu pingat perak buat kontinjen negara.

Walaupun persiapan yang singkat sebelum kejohanan itu berlangsung tetapi dengan prestasi cemerlang Dayang dalam kejohanan sebelum ini serta sifat ingin mencabar diri menjadi satu inspirasi untuk beliau memberikan aksi terbaiknya.


“Kami hanya dapat mengetahui berkenaan kejohanan ini dalam waktu yang singkat dan hanya mempunyai jangka masa sebulan sahaja untuk membuat persediaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau sendiri menganggap kejohanan yang disertai itu pada kali ini agak unik kerana jenis anak panah yang dibenarkan dalam kejohanan tersebut hanyalah anak panah yang diperbuat secara dari sumber semula jadi sahaja.

“Agak terkejut kerana jika di Malaysia saya menggunakan anak panah jenis karbon sahaja tetapi di Kazakhstan mereka menggunakan anak panah dari sumber kayu atau buluh sahaja.”

Kerana tempat latihan untuk memanah masih terbatas di Miri, maka atlet dari Serawak itu terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk meminjam tempat latihan daripada orang sekelilingnya untuk membuat persediaan sebelum kejohanan besar itu berlangsung.

“Di Miri tempat untuk berlatih tidak banyak maka saya terpaksa meminjam tanah milik seorang kawan untuk berlatih.”

Perbezaan cuaca juga antara faktor yang diberikan perhatian oleh Dayang sebagai langkah persediaan buat dirinya sebelum bermain di kejohanan luar seperti di Kazakhstan.

“Saya biasakan diri untuk berjemur di bawah panas kerana perbezaan cuaca di antara Kazakhstan dan Malaysia serta perbanyakkan latihan dari aspek daya tahan tubuh badan.”