KBS dan MSN perlu segera selesaikan permasalahan dalam program NFDP
Berikutan tular peralatan sukan seperti bola dan kualiti padang di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang semakin usang dan tidak berkualiti lagi, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) wajar memberikan perhatian dan cakna berkenaan isu tersebut.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli mengakui bahawa pemantauan lebih kerap dan berkesan perlu diadakan bukan hanya ke atas masalah kelengkapan tapi juga pelaksanaan latihan, perkembangan dan kebajikan pelatih dan jurulatih.
NFDP melalui Akademi Mokhtar Dahari (AMD) telah banyak melahirkan pemain-pemain muda yang berkualiti sebagai pelapis kepada sukan nombor satu di Malaysia iaitu bola sepak.
Kejayaan program itu yang telah berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti seperti Luqman Hakim Shamsuddin dan Arif Aiman Hanapi jelas banyak membantu dalam usaha untuk merancakkan lagi arena sukan bola sepak negara ketika ini.
Memandangkan program itu telah bertapak melebihi hampir sedekad di Malaysia, seharusnya program tersebut perlu menjadi lebih matang dalam menyediakan keperluan asas dari segi infrastruktur dan kelengkapan yang diperlukan oleh para pemain.
Dalam pada itu, sekiranya masalah infrastruktur dan peralatan yang semakin banyak mengalami kerosakan dan tidak dapat digunakan semestinya akan memberi impak kepada program pembangunan yang bertindak sebagai kilang ubi muda itu untuk terus konsisten melahirkan lebih ramai bintang pada masa akan datang.
AMD juga sebelum ini telah banyak membekalkan ramai graduannya untuk diserap masuk ke kelab-kelab gergasi di Malaysia seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai tempat untuk melebarkan sayap mereka untuk bergelar sebagai pemain profesional.
Dengan perkembangan bola sepak di Malaysia yang semakin rancak, maka wujudnya NFDP pasti dapat membantu perkembangan bola sepak negara untuk terus melahirkan lebih ramai pemain bertaraf antarabangsa.